BERITA SEMASA

Pendahuluan IPKP bantu pesawah, ringankan beban musim 1/2026

KUALA LUMPUR – Pemberian bayaran pendahuluan RM200 sehektar di bawah Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) dilihat mampu meringankan beban kewangan pesawah selain memastikan kelancaran persediaan bagi memulakan penanaman padi musim 1/2026.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, inisiatif itu membolehkan pesawah menerima bayaran lebih awal tanpa perlu mengeluarkan modal sendiri seperti sebelum ini.

Menurutnya, sebelum ini pesawah hanya boleh membuat tuntutan IPKP selepas kerja-kerja pembajakan selesai dilaksanakan.

“Pengumuman ini jelas menunjukkan Kerajaan MADANI sentiasa mendengar keluhan dan mengambil kira pandangan pesawah di peringkat akar umbi.

“Kerajaan juga komited untuk terus menambah baik pendekatan sedia ada agar kebajikan pesawah sentiasa terpelihara, selaras dengan usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju menyalurkan bayaran pendahuluan RM200 sehektar sebagai sebahagian daripada Bantuan Khas Insentif Pembajakan kepada kira-kira 240,000 pesawah berdaftar di seluruh negara.

Beliau berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikannya, dengan implikasi kewangan sebanyak RM48 juta.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kementeriannya telah diarahkan untuk memuktamadkan segera proses pelaksanaan bayaran tersebut bagi memastikan ia dapat disalurkan tanpa sebarang kelewatan.

Katanya, langkah itu penting bagi membantu pesawah membuat persiapan awal musim penanaman dengan lebih terancang dan berkesan.

“Usaha ini diharap dapat memberi kelegaan kepada pesawah serta menyokong kelangsungan sektor agromakanan negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button