BERITA SEMASA

Bantuan RM1,000 pemandu teksi diagih seluruh negara, bukan kerana PRN Melaka – Anthony Loke

MELAKA – Bantuan khas kewangan RM1,000 kepada pemandu teksi dan kereta sewa dilaksanakan di seluruh negara dan bukannya hanya di Melaka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tanggapan bahawa bantuan berkenaan hanya disalurkan di Melaka susulan PRN yang bakal berlangsung adalah tidak tepat.

Menurutnya, majlis penyampaian bantuan itu dilaksanakan secara berperingkat di beberapa negeri bagi membantu meringankan beban golongan berkenaan.

“Majlis penyampaian bantuan khas kepada pemandu teksi dan kereta sewa ini merupakan siri keempat selepas Putrajaya, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, sebelum diteruskan di Melaka hari ini.

“Saya nak membetulkan beberapa kenyataan di luar yang mempersoalkan mengapa bantuan ini hanya diberikan di Melaka. Hakikatnya, bantuan ini untuk semua pemandu teksi di seluruh negara, bukan hanya di Melaka,” katanya selepas Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah di Auditorium Kompleks CMI, Jalan Lingkaran MITC di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 283 pemandu teksi dan kereta sewa menerima baucar bantuan bernilai RM1,000 setiap seorang.

Anthony berkata, bantuan berkenaan diberikan kepada pemandu yang memenuhi syarat ditetapkan, termasuk mempunyai kelab pemandu yang sah serta kad pemandu yang disahkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Pemandu yang tidak dapat menghadiri majlis penyampaian bantuan pula akan menerima bayaran melalui pemindahan elektronik terus ke akaun masing-masing.

“Kita berharap proses pembayaran ini dapat dipercepatkan dalam tempoh satu hingga dua minggu ini.

“Bermula hari ini, terdapat kira-kira 12,000 penerima yang akan dikreditkan bantuan ke akaun bank masing-masing dan mereka dijangka menerima bayaran dalam tempoh dua hingga tiga hari,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button