BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Pemandu rentung selepas lori simen dipandu terbakar di Lebuhraya KL-Karak

GOMBAK – Seorang pemandu lori simen ditemukan rentung selepas kenderaan dipandunya hilang kawalan sebelum terbalik dan terbakar di Kilometer 28, Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK), berhampiran Genting Sempah, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, mangsa berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.21 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikerahkan ke lokasi sejauh 22 kilometer dan tiba pada jam 5.07 pagi.

Lori membawa muatan debu simen yang hilang kawalan sebelum terbalik dan terbakar di Kilometer 28, Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK), berhampiran Ge.nting Sempah, awal pagi tadi.

“Komander operasi melaporkan, kebakaran melibatkan sebuah lori membawa muatan debu simen dan terdapat seorang mangsa di dalam kenderaan berkenaan.

“Lori tersebut dianggarkan musnah sebanyak 60 peratus, terutama pada bahagian kabin pemandu akibat kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan dokumen pengenalan diri, mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Izzat Kamaruddin, seorang lelaki tempatan.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, kenyataan oleh Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia memaklumkan laluan kontra diaktifkan susulan insiden itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button