Kerjaya kedua veteran ATM diperkukuh, kemahiran dipadankan terus dengan keperluan industri
KUALA LUMPUR – Kemahiran anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal dipadankan secara langsung dengan keperluan industri bagi memudahkan mereka mendapatkan pekerjaan selepas tamat perkhidmatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendekatan itu dilaksanakan menerusi MyBakat Veteran hasil kerjasama Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Beliau berkata, inisiatif itu beralih daripada pendekatan menyediakan latihan terlebih dahulu sebelum anggota mencari pekerjaan sendiri kepada sistem yang menghubungkan kompetensi mereka dengan keperluan majikan, latihan bersesuaian dan peluang pekerjaan sebenar.
“Kita beranjak daripada pendekatan ‘melatih dahulu, kemudian mencari pekerjaan’ kepada pendekatan memadankan secara langsung kompetensi anggota dengan keperluan industri, latihan bersesuaian dan peluang kerjaya sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pemeteraian Nota Kerjasama antara KESUMA dan MINDEF di sini, hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, Jabatan Pembangunan Kemahiran akan melaksanakan pemetaan tugas anggota tentera bagi mengenal pasti kemahiran yang boleh diiktiraf menerusi pensijilan dalam bidang berkaitan.
Katanya, langkah itu membolehkan pengalaman kerja anggota, termasuk dalam bidang mekanikal dan penyelenggaraan kenderaan, diiktiraf sebagai kemahiran yang memenuhi keperluan industri.
Beliau berkata, proses pemadanan turut mengambil kira lokasi pekerjaan, termasuk bagi anggota yang mahu kembali ke kampung halaman selepas bersara, supaya mereka dapat dikenal pasti dengan industri yang mempunyai kekosongan bersesuaian.
Mohamed Khaled berkata, usaha itu penting kerana anggota ATM boleh bersara seawal usia 41 tahun, sedangkan pencen yang diterima mungkin tidak mencukupi untuk menampung keperluan keluarga, khususnya berikutan peningkatan kos sara hidup.
Katanya, tanpa pensijilan yang diiktiraf industri, anggota berkenaan berisiko memasuki pasaran pekerjaan hanya dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus berdepan tawaran gaji rendah walaupun mempunyai pengalaman kerja.

Beliau berkata, anggota yang bakal bersara boleh mengikuti program berkenaan sehingga dua tahun sebelum persaraan, manakala peruntukan tahunan disediakan untuk membolehkan kira-kira 3,000 hingga 4,000 anggota menyertainya.
“Pokoknya kita nak tolong dia sebab kalau dia bermasalah, dia dah pencen dia bermasalah dia akan lari ke kerajaan dan kerajaan kena bagi bantuan kebajikan. Yang ini kita nak bangunkan supaya dia berdikari,” katanya.
Sementara itu, kerjasama KESUMA dan MINDEF yang diselaraskan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) menyasarkan lebih 15,000 anggota dan veteran ATM menjelang 2030 menerusi persediaan kerjaya, pembangunan kemahiran dan sokongan pekerjaan berasaskan keperluan industri.
Nota Kerjasama itu ditandatangani Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof, dan Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Lokman Hakim Ali, serta disaksikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








