
Belanjawan 2027: MINDEF terima RM22.11 bilion, pencen terendah veteran ATM naik RM1,350
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menerima peruntukan RM22.11 bilion menerusi Belanjawan MADANI 2027, meningkat kira-kira 1.66 peratus berbanding tahun ini bagi memperkukuh pertahanan negara serta menjaga kebajikan anggota, keluarga dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Daripada jumlah itu, RM14.52 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM7.59 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
MINDEF dalam kenyataan berkata, peruntukan berkenaan merangkumi lima fokus utama, iaitu kesiapsiagaan dan keupayaan pertahanan, kesejahteraan anggota serta keluarga, kebajikan veteran ATM, pembangunan modal insan dan patriotisme, selain penyelidikan serta ekosistem industri pertahanan.
“Bagi memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan, sebanyak RM5.35 bilion diperuntukkan di bawah perbelanjaan pembangunan bagi kelengkapan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.
“Sokongan operasi turut merangkumi RM133.45 juta bagi pengoperasian di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE), RM39.04 juta untuk program penugasan ke luar negara, RM25 juta bagi menangani keusangan sistem dan RM15 juta untuk projek hidrografi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam aspek kebajikan anggota katanya, sebanyak RM957.30 juta disediakan bagi perumahan ATM, selain RM30 juta untuk penggantian perabot Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).
Katanya, pembinaan RKAT di Skudai, Johor turut diumumkan bagi memenuhi keperluan kediaman anggota, manakala peruntukan program Head To Toe digandakan kepada RM280 juta.
Pada masa sama katanya, kerajaan turut menyediakan RM20 juta bagi penyelenggaraan Sekolah Dalam Kem (SDK) bagi memastikan anak-anak anggota ATM mendapat persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Sementara itu katanya, sebanyak RM304 juta diperuntukkan bagi pengurusan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM), termasuk menyokong pelaksanaan faedah persaraan dan peningkatan sosioekonomi veteran.
“Antara pengumuman utama ialah peningkatan kadar pencen terendah daripada RM1,000 kepada RM1,350 sebulan bagi veteran ATM yang layak.
“Bagi pembangunan modal insan, anggota Lain-lain Pangkat (LLP) ATM yang menamatkan perkhidmatan akan dibekalkan latihan kemahiran menerusi kerjasama dengan institusi termasuk Malaysian Institute of Aviation Technology (MIAT) dan Akademi Laut Malaysia bagi membantu mereka membina kerjaya kedua,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, peruntukan RM279.85 juta turut disediakan bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), dengan tumpuan kepada pelaksanaan program serta pembentukan disiplin, jati diri dan semangat patriotisme.
Dalam usaha memperkukuh penyelidikan dan ekosistem industri pertahanan katanya, RM65.03 juta diperuntukkan bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertahanan, manakala RM30 juta disediakan untuk penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA 2027).
MINDEF menegaskan komitmen untuk memastikan setiap peruntukan yang diamanahkan diurus secara telus, berhemah dan berkesan.
Kementerian itu berkata, kesiapsiagaan pertahanan serta kebajikan anggota, keluarga dan veteran ATM akan terus menjadi keutamaan demi memelihara kedaulatan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








