BERITA SEMASA

PR1MA komited bangunkan Bandar MADANI Bukit Jalil

KUALA LUMPUR – Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) komited membangunkan Bandar MADANI Bukit Jalil dengan menyediakan kemudahan lengkap bagi memenuhi keperluan perumahan dan kesejahteraan komuniti setempat.

PR1MA dalam kenyataan berkata, pembangunan itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk sekolah vertikal, klinik kesihatan, taman, kawasan rekreasi serta Hab MADANI bagi kemudahan penduduk.

Menurutnya, projek berkenaan selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperluas akses rakyat kepada perumahan yang memenuhi keperluan mereka, seperti diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat.

“Dalam menggalas tanggungjawab ini, PR1MA komited bukan sahaja untuk merancang dan menyediakan rumah untuk rakyat, malah turut memberi perhatian kepada kesejahteraan komuniti dan persekitaran setempat,” menurut kenyataan itu hari ini.

PR1MA berkata, perancangan pembangunan yang menyeluruh penting bagi memastikan projek berkenaan dapat memenuhi keperluan penduduk, selain mengambil kira kesannya terhadap kawasan sekitar.

Sehubungan itu, perkara berkaitan akan terus diberikan perhatian melalui penyelarasan bersama pihak berkepentingan dan agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.

Dalam perkembangan sama, pendaftaran bagi pembangunan Fasa 1 Bandar MADANI Bukit Jalil dibuka mulai sekarang dan boleh dibuat secara dalam talian menerusi portal rasmi PR1MA di https://www.pr1ma.my/.

PR1MA menegaskan komitmennya untuk melaksanakan tanggungjawab dengan mengutamakan keperluan perumahan rakyat, perancangan pembangunan secara bertanggungjawab serta kepentingan komuniti secara keseluruhan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button