Empat negeri, Putrajaya sahkan sekolah beroperasi seperti biasa esok
KUALA LUMPUR – Sekolah di Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Wilayah Persekutuan Putrajaya akan beroperasi seperti biasa mulai Isnin, 12 Oktober, susulan perkembangan terkini bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) ketika keadaan jerebu terus dipantau.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, Pahang, Negeri Sembilan dan Perak mengesahkan semua institusi pendidikan di bawah pentadbiran masing-masing akan kembali beroperasi seperti biasa pada tarikh berkenaan.
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) turut memaklumkan semua sekolah di bawah pentadbirannya akan dibuka semula selepas bacaan IPU menunjukkan penurunan secara konsisten dalam tempoh tiga hari.
Setakat jam 2 petang, Ahad, bacaan IPU di Putrajaya direkodkan pada paras 70, iaitu di bawah tahap 150.
Bagaimanapun, pengoperasian sekolah di Kuala Lumpur masih bergantung pada bacaan IPU di kawasan masing-masing.
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) memaklumkan sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sentul dan PPD Keramat akan kembali beroperasi secara bersemuka mulai Isnin.
Keputusan itu dibuat selepas bacaan IPU di Stesen CA15W Batu Muda mencatatkan 84 setakat jam 2 petang, 11 Oktober, selain menunjukkan trend penurunan selama tiga hari berturut-turut.
Sehubungan itu, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta arahan Bekerja dari Rumah (BDR) bagi kawasan terbabit ditamatkan.
Sebaliknya, semua institusi pendidikan di bawah PPD Bangsar/Pudu akan terus ditutup berikutan bacaan IPU di Stesen CA16W Cheras masih berada pada tahap tidak sihat, iaitu 152 pada waktu yang sama.
Pelaksanaan PdPR serta arahan BDR untuk guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) di kawasan berkenaan akan diteruskan sehingga makluman lanjut dikeluarkan.
Dalam pada itu, warga pendidikan dan ibu bapa diminta mengikuti pengumuman rasmi jabatan pendidikan serta pihak sekolah bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai status pengoperasian institusi pendidikan.
Pemantauan kualiti udara juga akan diteruskan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan murid, guru serta seluruh warga sekolah sentiasa diberi keutamaan sepanjang keadaan jerebu masih berlaku.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








