Tiga pengamal media di Sabah terima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA
KOTA KINABALU – Tiga pengamal media di Sabah yang berdepan masalah kesihatan menerima sumbangan menerusi Tabung Kasih@HAWANA X Telekom Malaysia (TM) sebagai usaha membantu kebajikan warga media yang memerlukan sokongan.
Sumbangan itu disampaikan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, di Pejabat Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.
Tiga penerima berkenaan ialah Kamarudin Abdullah dan Floris Philip, masing-masing penerbit rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM), serta Mohammed Fairuz Mohammed Yazzer, eksekutif jurukamera Media Prima.
Kamarudin, 46, memerlukan rawatan fisioterapi pada bahagian belakang badan dan lutut kiri selepas mengalami beberapa kecederaan akibat kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
Sementara itu, Floris, 54, berdepan masalah jantung, manakala Mohammed Fairuz, 35, menghidap masalah cakera tergelincir (slip disc) pada bahagian tulang leher yang menyukarkannya bergerak ketika menjalankan tugas.
Turut hadir pada majlis penyerahan sumbangan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Tabung Kasih@HAWANA X TM merupakan peluasan inisiatif Tabung Kasih@HAWANA menerusi sumbangan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) Telekom Malaysia bagi membantu lebih ramai pengamal media yang berdepan kesulitan dan memerlukan bantuan.
Sejak penyaluran bantuan menerusi kerjasama itu bermula pada Jun 2026, seramai 94 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan.
Secara keseluruhan, seramai 864 pengamal media telah menerima manfaat Tabung Kasih@HAWANA sejak diperkenalkan pada April 2023.
Inisiatif yang diterajui Kementerian Komunikasi itu dilaksanakan menerusi BERNAMA bagi menyokong kebajikan pengamal media yang memerlukan bantuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








