KPT sedia pemeriksaan kesihatan percuma untuk pengamal media sempena HAWANA 2026
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan komitmennya menghargai peranan pengamal media dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan pemeriksaan dan saringan kesihatan menerusi Program SIHAT SELALU #RakanMediaKPT sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 hari ini.
Program yang digerakkan melalui Unit Komunikasi Korporat (UKK) KPT itu dilaksanakan dengan kerjasama tiga Hospital Pengajar Universiti (HPU) bagi memastikan pengamal media mendapat akses kepada pemeriksaan kesihatan berkualiti di samping meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan.
Menurut KPT, inisiatif tersebut merupakan tanda penghargaan kepada pengamal media yang memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat sahih kepada masyarakat serta menyokong agenda pendidikan tinggi negara.
“Tujuan utama program ini adalah untuk memastikan tahap kesihatan pengamal media sentiasa berada pada tahap optimum meskipun berdepan tuntutan kerjaya dan jadual kerja yang padat,” kata KPT dalam kenyataan hari ini.
KPT berkata, program berkenaan turut menjadi platform untuk mengetengahkan kepakaran klinikal dan kemudahan moden yang dimiliki hospital pengajar universiti kepada masyarakat melalui kerjasama strategik dengan media.
Selain menawarkan rawatan dan saringan kesihatan yang bersesuaian dengan keperluan kerjaya media, program itu juga bertujuan memindahkan ilmu berkaitan penjagaan kesihatan kepada masyarakat menerusi peranan media sebagai penyampai maklumat.

Bagi pelaksanaan kali ini, program diadakan serentak di tiga organisasi media utama dengan pengkhususan perkhidmatan kesihatan yang berbeza.
Di Radio Televisyen Malaysia (RTM), perkhidmatan disediakan oleh Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) di Lobi Wisma Berita Angkasapuri Kota Media. Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah saringan kesihatan asas, latihan sokongan hayat asas (CPR), saringan kanser prostat dan konsultasi pengurusan berat badan.
Sementara itu di Media Prima Berhad, pasukan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bersama ROSE Foundation menjalankan saringan penyakit tidak berjangkit dan kanser di Lobi Anjung Riong, Bangsar. Pemeriksaan meliputi penilaian risiko penyakit jantung, diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol serta saringan kanser payudara, usus, tekak dan pangkal rahim termasuk pemeriksaan ultrasound berfokus.
Di Astro Bukit Jalil pula, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyediakan pelbagai saringan khusus termasuk ujian peti suara, pemeriksaan kesihatan kulit menggunakan dermascope, saringan fungsi paru-paru serta pemeriksaan kesihatan buah pinggang.
Menurut KPT, usaha turun padang itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pengamal media melalui pengesanan awal penyakit, malah mencerminkan komitmen berterusan kementerian dalam menjaga kebajikan warga media yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara.
Program SIHAT SELALU #RakanMediaKPT merupakan antara inisiatif khas KPT sempena HAWANA 2026 bagi memperkukuh hubungan strategik antara institusi pendidikan tinggi dan pengamal media di negara ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








