BERITA SEMASA

Peminjam hadapi masalah bayaran balik dinasihat maklum kepada PTPTN

SUBANG JAYA – Peminjam yang menghadapi kesukaran membuat bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disaran supaya memaklumkan keadaan kewangan mereka kepada badan itu, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dr Zambry berkata, pihaknya turut meminta PTPTN mempertimbangkan keadaan sebenar peminjam dalam menguruskan kes berkaitan bayaran balik.

“Jadi saya pun dah maklumkan kepada pihak PTPTN kena ada juga sifat kemanusiaan untuk memastikan supaya mereka yang benar-benar tidak mampu membayar itu dapat disusun balik, dari segi kaedah pembayarannya macam mana, berapa jumlah yang dia boleh bayar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) Ke-16, di sini hari ini.

Dr Zambry menjelaskan, kerajaan memahami bahawa ada sebahagian peminjam, khususnya yang baru memulakan kerjaya, mungkin belum mempunyai kemampuan kewangan untuk memulakan pembayaran balik pinjaman.

“Kita pun faham ada di kalangan mereka yang mungkin baru keluar setahun dua yang tidak ada (kerja) lagi untuk membayar sebab itu pendekatan kerajaan ialah untuk
memastikan supaya kita tidak ingin menganiaya mana-mana pihak.

“Kita juga faham dari segi ekonomi mereka dan sekiranya mereka mempunyai masalah kita akan pun sebutkan berkali-kali supaya mereka datang, maklumkan kepada PTPTN bahawa dia mempunyai (masalah) pendapatan.

Menurut beliau, isu bayaran balik pinjaman PTPTN melibatkan pelbagai kumpulan peminjam dengan latar belakang berbeza.

“Ada beberapa kategori yang kita boleh lihat iaitu mereka yang langsung tidak mahu bayar daripada hari pertama sampailah sekarang maknanya mereka yang sudahpun bekerja dengan berpedapatan tinggi tapi mereka ini adalah kumpulan ingkar,” jelasnya.

Terdahulu, kerajaan sedang memperincikan rancangan untuk menguatkuasakan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam PTPTN yang gagal membuat bayaran balik pinjaman.

Dalam dokumen ringkasan Belanjawan 2026 yang dikeluarkan sebelum ini menyatakan bahawa senarai hitam itu akan menyasarkan dua kategori peminjam.

Pertama, peminjam yang mempunyai tunggakan melebihi lima tahun dan berpendapatan lebih daripada RM6,000 sebulan dan peminjam yang bekerja di luar negara.

Data Parlimen menunjukkan bahawa sehingga akhir tahun 2024, jumlah hutang tertunggak daripada peminjam yang tidak pernah membuat sebarang bayaran balik atau tidak membayar secara konsisten telah melebihi RM11 bilion.

Daripada jumlah itu, lebih RM5 bilion adalah hutang daripada peminjam yang tidak membayar walau satu sen pun kepada tabung tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button