
KPT umum bantuan, tajaan pendidikan kepada waris mangsa nahas
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini mengumumkan beberapa insentif, sumbangan dan juga bantuan pembiayaian pendidikan kepada waris anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas di Lumut, Perak pada Isnin lalu.
KPT dalam satu kenyataan berkata, bantuan bagi meringankan beban ditanggung ahli keluarga mangsa terkorban itu akan dilaksanakan melalui kerjasama agensi-agensi di bawah kementerian itu.
Antaranya adalah Yayasan Perkasa Siswa (YPS), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Education Malaysia Global Services (EMGS), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Holdings.
“KPT menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan salam takziah kepada keluarga 10 pegawai dan anggota TLDM atas tragedi dua buah helikopter terhempas di Lumut, Perak.
“KPT turut bersedia untuk menyalurkan apa juga keperluan dan sokongan kepada waris mangsa terutama dalam aspek pendidikan tinggi negara. Semoga seluruh ahli keluarga tabah serta sabar menghadapi dugaan dan ujian ini,” menurut kenyataan itu.
KPT berkata, pihaknya akan turut memberi bantuan tunai kepada waris 10 keluarga dan sumbangan dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM1,000 kepada semua 21 orang anak mangsa korban yang masih bersekolah telah dikenalpasti.
Kementerian itu juga mengumumkan pembiayaian secara penuh yuran pengajian untuk anak Allahyarham Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi, Nurul Shahfiqah yang mengikuti pengajian Sarjana Muda Keusahawanan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








