JBPM sedia hantar pasukan bantu operasi SAR banjir Nepal
PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia menggerakkan pasukan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan banjir kilat serta aliran puing yang melanda kawasan pergunungan di sempadan Nepal-Tibet.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya telah membuat persediaan awal dan mampu menghantar pasukan pada bila-bila masa sekiranya menerima permohonan rasmi daripada kerajaan Nepal serta arahan kerajaan Malaysia.
Menurut beliau, penggerakan pasukan itu tertakluk kepada penyelarasan bersama Kementerian Luar menerusi Wisma Putra dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Buat masa ini, kita bersedia menghantar pasukan sekiranya menerima arahan dan permohonan daripada kerajaan Nepal.
“Jika menerima arahan daripada Wisma Putra dan NADMA bagi tujuan penyelarasan, insya-Allah kita akan menyediakan pasukan terbaik untuk ke Nepal,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri raptai Hari Kebangsaan 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan pengalaman misi bantuan bencana di luar negara sebelum ini termasuk di Turkiye, persediaan awal terutama melibatkan dokumentasi anggota telah dilakukan bagi memastikan pasukan dapat digerakkan dalam tempoh singkat.
Menurutnya, JBPM juga bersedia menggerakkan pasukan Special Tactical Operation and Rescue Team of Malaysia (STORM) yang mempunyai kepakaran dalam operasi SAR di kawasan bencana termasuk runtuhan struktur, banjir dan aliran puing.
“Pasukan STORM mempunyai kemahiran khusus dalam operasi menyelamat selain dilengkapi peralatan yang sesuai untuk menghadapi situasi bencana yang mencabar.
“Bagaimanapun, penglibatan pasukan itu bergantung kepada bentuk bantuan yang diperlukan, keadaan di lokasi serta arahan dan penyelarasan daripada kerajaan,” katanya lagi.
Nor Hisham turut berkata, pihaknya masih gagal menghubungi dua anggota JBPM yang menyertai ekspedisi pendakian secara persendirian di Nepal.
“Sehingga pagi Jumaat, tiada sebarang komunikasi diterima daripada kedua-dua anggota terbabit yang berada bersama kumpulan pendaki lain di kawasan berkenaan.
“Kumpulan itu terdiri daripada sembilan pendaki Malaysia dan seorang ejen tempatan di Nepal.
“Kedua-dua anggota JBPM tersebut berada di Nepal atas urusan persendirian dan bukan dalam kapasiti menjalankan tugas rasmi,” katanya lagi.
Tambah beliau, JBPM terus berhubung dengan keluarga kedua-dua anggota berkenaan selain berusaha mengesan mereka melalui pelbagai saluran komunikasi di Nepal.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








