BERITA SEMASA

Jerebu rentas sempadan: Kerajaan digesa gubal akta khusus

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengambil tindakan konkrit dan tegas bagi menangani krisis jerebu rentas sempadan, termasuk menggubal akta khusus bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap pencemaran udara dapat dikenakan tindakan undang-undang.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen, berkata Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada kajian dan kenyataan semata-mata, sebaliknya perlu melaksanakan langkah berkesan bagi menangani masalah jerebu yang berulang setiap tahun.

Menurutnya, krisis berkenaan bukan lagi sekadar gangguan bermusim, tetapi ancaman terhadap kesihatan awam, ekonomi dan pendidikan yang memerlukan tindakan segera.

“Antara langkah utama yang perlu diberi perhatian ialah penggubalan Akta Jerebu Rentas Sempadan bagi membolehkan tindakan lebih tegas diambil terhadap syarikat yang terbabit dalam aktiviti pembakaran terbuka sehingga menyebabkan pencemaran udara merentasi sempadan negara,” katanya ketika membahaskan isu berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, kerajaan juga perlu memperkukuh prinsip ‘pencemar membayar’ dengan memastikan syarikat yang bertanggungjawab dikenakan tindakan, termasuk syarikat induk di Malaysia yang mempunyai anak syarikat terbabit dalam pembakaran di luar negara.

Beliau turut mencadangkan supaya data satelit berkaitan kawasan konsesi dan titik panas didedahkan bagi membantu mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Mengulas kesan terhadap kesihatan, Kelvin berkata, zarah halus PM2.5 dalam jerebu boleh menembusi paru-paru dan memasuki aliran darah, sekali gus meningkatkan risiko penyakit pernafasan serta komplikasi kardiovaskular, terutama dalam kalangan kanak-kanak, warga emas dan ibu hamil.

“Berdasarkan formula Berkeley Earth, pendedahan kepada kepekatan PM2.5 sebanyak 22 mikrogram sehari bersamaan dengan risiko kesihatan akibat merokok sebatang rokok.

“Berdasarkan formula ini, penduduk di Serian ketika kemuncak jerebu secara tidak langsung menyedut asap setara 23 batang rokok sehari, manakala penduduk di Kuching pula menyedut setara 14 batang rokok sehari,” katanya lagi.

Beliau turut merujuk kajian yang menganggarkan krisis jerebu pada 2015 menyebabkan antara 40,000 hingga 100,000 kematian tambahan di Indonesia, Malaysia dan Singapura, termasuk kira-kira 6,500 kematian di Malaysia.

Dari sudut ekonomi, kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati jerebu rentas sempadan menyebabkan kerugian RM1.57 bilion kepada Malaysia pada 2013, meliputi kos perkhidmatan kesihatan dan kehilangan pendapatan.

Kelvin berkata, sektor pelancongan, penerbangan serta perniagaan kecil turut terjejas, selain pekerja luar seperti penghantar barang, petani dan penjaja yang terpaksa berdepan keadaan udara tidak sihat ketika mencari rezeki.

Sektor pendidikan juga menerima kesan apabila 710 sekolah di Sarawak membabitkan kira-kira 238,000 pelajar dilaporkan terpaksa ditutup pada awal September lalu.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan memperkenalkan protokol penutupan sekolah yang seragam berdasarkan ambang Indeks Pencemaran Udara (IPU), selain menyediakan makluman awal, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta pelan pemulihan akademik bagi calon peperiksaan.

Kelvin turut menggesa Malaysia menggunakan kedudukannya sebagai negara pertama meratifikasi Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan pada 2002 untuk mendesak kerjasama lebih kukuh dalam kalangan negara anggota, termasuk perkongsian data titik panas, peta konsesi dan hasil siasatan.

Beliau turut mencadangkan kajian menyeluruh mengenai kos kesihatan dan ekonomi akibat jerebu bagi memastikan dasar kerajaan dirangka berdasarkan bukti serta data yang tepat.

Mengulas kemungkinan fenomena El Niño kuat berlarutan sehingga Januari 2027, beliau menegaskan Malaysia perlu mempunyai pendekatan jangka panjang dan tidak boleh bergantung kepada perubahan angin semata-mata untuk menangani pencemaran udara.

“Jerebu tidak mengenal sempadan. Justeru, kebertanggungjawaban juga tidak sepatutnya mempunyai sempadan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button