BERITA SEMASA

Jerebu makin buruk, 32 kawasan catat IPU tidak sihat 

KUALA LUMPUR – Sebanyak 32 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pukul 7.40 pagi ini, berikutan keadaan jerebu yang masih belum menunjukkan tanda pulih.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan tertinggi dicatat di stesen pemantauan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, Sarawak iaitu 181.

Ia diikuti Johan Setia, Selangor dengan bacaan 174 dan Sri Aman, Sarawak (166).

Jumlah kawasan yang mencatat bacaan tidak sihat itu meningkat berbanding 28 lokasi pada pukul 9 malam tadi, dengan kemerosotan kualiti udara turut dikesan di beberapa kawasan di Semenanjung.

Kawasan lain yang merekodkan bacaan tinggi ialah Kuching, Sarawak (165), Shah Alam, Selangor (161) dan Samarahan, Sarawak (159).

Putrajaya, Kuala Selangor dan Nilai pula masing-masing mencatat bacaan 156, manakala Tasek Ipoh dan Seremban masing-masing merekodkan 153.

Sungai Petani dan Balik Pulau masing-masing mencatat bacaan 152, diikuti Banting, Segamat, Batu Pahat, Sarikei dan Tangkak yang masing-masing merekodkan 152.

Taiping dan Klang pula masing-masing mencatat bacaan IPU 151.

Sementara itu, tujuh stesen pemantauan merekodkan bacaan di bawah 150, namun masih berada pada tahap sederhana.

Kawasan terbabit ialah Seberang Perai, Pulau Pinang; Petaling Jaya, Selangor; Alor Gajah, Melaka; Kota Tinggi dan Kluang, Johor; Pegoh Ipoh, Perak serta Mukah, Sarawak.

Mengikut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat), manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.

Setakat ini, sebanyak 35 stesen merekodkan bacaan pada tahap sederhana, manakala tiada stesen mencatat bacaan pada tahap sangat tidak sihat atau berbahaya.

Bagaimanapun, stesen pemantauan Cheras, Kuala Lumpur tidak mempunyai data bacaan setakat ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button