BERITA SEMASA

Jerebu: Kerajaan tidak bercadang batalkan sambutan Hari Kebangsaan

PUTRAJAYA – Kerajaan akan meneliti semula skala dan lokasi sambutan Hari Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada 31 Ogos ini susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan termasuk Putrajaya, Kuala Lumpur dan Sarawak.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri selepas mengambil maklum perkembangan terkini keadaan jerebu yang dibentangkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Menurut beliau, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar akan mempengerusikan perbincangan bersama kementerian dan agensi berkaitan pada petang Rabu bagi menilai kesesuaian penganjuran sambutan berkenaan.

“Perbincangan itu akan meneliti sama ada skala sambutan perlu diubah, lokasi ditukar atau diteruskan di lokasi asal iaitu di Dataran Putrajaya.

“Ia juga melibatkan program Ambang Hari Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos di Dataran Merdeka,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Fahmi berkata, perbincangan tersebut akan melibatkan Kementerian Komunikasi, Kementerian Dalam Negeri (KDN), MetMalaysia, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, penilaian akan dibuat berdasarkan unjuran cuaca dan perkembangan jerebu bagi tempoh lima hingga enam hari akan datang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan tidak bercadang membatalkan sambutan Hari Kebangsaan, sebaliknya hanya mempertimbangkan perubahan dari segi skala atau lokasi sekiranya perlu.

Mengulas kemungkinan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai tahap tidak sihat, Fahmi berkata, perkara itu masih belum diputuskan dan akan mengambil kira pandangan KKM serta KPM.

“Aspek kesihatan dan keselamatan perlu diberi perhatian memandangkan sambutan itu turut melibatkan kira-kira 1,500 peserta persembahan grafik manusia dalam kalangan pelajar sekolah menengah dari tiga negeri.

“Perkara itu belum diputuskan dalam mesyuarat, tetapi kita akan mengambil maklum pandangan daripada KKM dan KPM.

“Itu antara cadangan yang sedang dipertimbangkan, namun kita perlu meneliti kesesuaian lokasi serta faktor-faktor lain. Kita tunggu kenyataan lanjut daripada KSN,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button