BERITA SEMASA

KPT harap majikan sokong gaji permulaan graduan RM2,500 sebulan

LUMUT – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berharap golongan majikan menyokong dasar kerajaan memperkenalkan gaji permulaan minimum RM2,500 sebulan kepada graduan seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2027, Jumaat lepas.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau berharap supaya dasar itu diguna pakai oleh majikan biarpun ketetapan itu adalah di luar bidang kuasa KPT, lapor portal Buletin Utama.

“Pelarasan itu dibuat pada peringkat kebangsaan secara menyeluruh seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jadi, apabila ia dilaksanakan nanti adalah di peringkat pekerjaan masing-masing.

“Itulah dasar yang sudah pun diumumkan. Jadi, saya harap ia dapat dipakai (dilaksanakan) oleh pihak majikan,” katanya selepas menyempurnakan Program Bantuan Pendidikan Bersasar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Dewan Mohd Anwar, TVETMara, di sini hari ini.

Program tersebut menyaksikan seramai 400 pelajar dari keluarga B40 sekitar kawasan Parlimen Lumut yang akan memasuki IPT menerima bantuan sebanyak RM500 secara sekali beri (one-off).

Semasa membentangkan Belanjawan 2027, Anwar berkata, kadar gaji minimum hanya menaikkan lantai pendapatan pekerja sedangkan upah pekerja mahir masih tidak setimpal dengan tahap kelayakan.

Oleh kerana itu, Anwar berkata, kerajaan akan turut melaksanakan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja dengan memperkenalkan gaji minimum bagi pekerjaan separa mahir dan graduan pada RM2,500 sebulan sebagai permulaan.

Dalam pembentangan itu, Anwar turut berkata, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027, yang dijangka memanfaatkan lebih empat juta pekerja seluruh negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button