BERITA SEMASA

Peranan Lembaga Pengarah Universiti (LPU) merentasi tanggungjawab sosial yang dinamik – Mohamed Khaled

PUTRAJAYA – Peranan Pengerusi dan ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dilihat bukan sahaja bersifat formal malah merentasi tanggungjawab sosial yang dinamik dalam ekosistem institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi dan ahli LPU adalah wakil kerajaan dalam menjaga kepentingan awam IPT dan seterusnya bertanggungjawab mempertahankan kepentingan nasional di negara ini.

“Amanah yang anda pikul adalah amanah nasional. Ia adalah tanggungjawab yang mesti anda laksanakan demi negara.

“Ini bukan kerja dan tanggungjawab biasa-biasa. Ia adalah ‘a sacred duty’ untuk bangsa dan tanah air . Ini adalah satu bentuk tanggungjawab moral dan penzahiran patriotisme dengan cara dan pemberat yang tersendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum menyempurnakan gimik pelancaran Program Suai Tugas Strategik Ahli Lembaga Pengarah Universiti Awam di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, LPU juga perlu bertindak sebagai instrumen semak dan imbang walaupun tidak mentadbir universiti, LPU mengelola dan menasihati kepimpinan universiti.

Jelasnya lagi, LPU harus bebas, berani dan bingkas serta mesti menjadi suara bebas yang bernas mahupun tegas.

“Bebas untuk menyatakan kritikan, teguran dan tidak persetujuan. Bernas dalam memberikan idea, perspektif serta saranan baharu.

“Tegas dalam memastikan sebarang keputusan yang diambil dibahaskan secara terbuka dan telus demi manfaat terbaik universiti,” katanya.

Tambah Mohamed Khaled, sudah sampai masanya LPU mempertimbangkan pengenalan pelbagai jawatankuasa di peringkat Lembaga Pengarah.

“Misalnya, Jawatankuasa Pengurusan Risiko, Jawatankuasa Kelestarian, Jawatankuasa Pelaburan, Jawatankuasa Pencalonan dan ‘Renumerasi’.

“Ini kerana peranan universiti telah menjadi semakin kompleks. Kita sentiasa berhadapan dengan pelbagai pembaharuan yang drastik dan inovatif,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berharap, seluruh warga kementerianya dapat menjayakan misi pendidikan tinggi negara bagi menjamin masa depan bangsa yang sangat bergantung kepada keupayaan KPT menyempurnakan agenda tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button