POLITIK

PKR tidak kuat jika ada dua nakhoda dalam parti, wujud pertelingkahan dalaman – Nurul Izzah

AYER KEROH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan mampu menjadi sebuah organisasi yang kukuh sekiranya wujud dua nakhoda yang mengemudi parti atau terdapat struktur kuasa tersembunyi di sebalik kepimpinan sedia ada.

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar

berkata, parti juga tidak akan menjadi lebih kuat selagi tenaga pemimpin dan ahli dihabiskan untuk menghadapi pertelingkahan dalaman.

Menurutnya, setiap masa yang digunakan untuk berkonflik sesama sendiri adalah masa yang sepatutnya dimanfaatkan bagi mendekati rakyat dan memperkukuhkan sokongan terhadap parti.

“Fokus kita ialah membulatkan tekad kepada agenda merakyatkan ekonomi serta bersaing dalam melakukan kebaikan demi rakyat,” katanya ketika merasmikan Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hari ini.

Hadir sama Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek dan Ketua AMK, Muhammad Kamil Munim.

Nurul Izzah yang menjalankan amanah sebagai Timbalan Presiden yang bakal menamatkan penggalnya berkata, beliau mengharapkan masa depan parti dipimpin oleh barisan kepimpinan yang sehaluan dan mempunyai matlamat yang sama.

“Kemenangan dalam pilihan raya sama ada Pilihan Raya Umum (PRU) atau pilihan raya negeri bukanlah sesuatu yang mudah dicapai, namun kejayaan itu perlu dimanfaatkan untuk membentuk budaya politik yang lebih baik.

“Kemenangan memberi peluang untuk melakar perubahan, mencipta ruang baharu dan membina budaya politik yang lebih sihat,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan sayap Wanita dan AMK supaya terus bekerja keras memenangi hati rakyat, khususnya ketika timbul desakan daripada pihak tertentu yang mahu pilihan raya diadakan lebih awal.

Menurutnya, perpaduan dalam parti perlu diperkukuhkan dan sebarang perpecahan dalam kalangan sayap parti tidak boleh dibiarkan berlaku.

“Kita perlu saling mengenali, membina kepercayaan dan memperkukuhkan hubungan kerana perpecahan hanya akan melemahkan parti.

“Mungkin saya terlalu berharap, namun kita perlu menghayati semangat husnuzon dan membawa nilai keadilan dalam parti ini,” katanya lagi.

Nurul Izzah berkata, kepimpinan bukan mengenai memiliki kuasa, sebaliknya memikul amanah yang diberikan rakyat.

“Terdapat perbezaan besar antara mempertahankan kedudukan dan mempertahankan nilai yang diperjuangkan.

“Pengaruh mungkin boleh diwarisi, malah takhta juga boleh diwarisi, tetapi amanah tidak boleh diwarisi. Amanah hanya boleh dipikul oleh mereka yang bersedia menanggung tanggungjawab serta implikasinya,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, menjadi kerajaan yang baik jauh lebih mencabar berbanding menjadi pembangkang kerana ia melibatkan pelbagai godaan dan ujian kuasa.

“Mengkritik memang mudah, tetapi memerintah dengan baik dan benar adalah tugas yang sukar.

“Apabila berdepan godaan, persoalan yang perlu ditanya bukanlah sejauh mana kebijaksanaan taktik politik yang digunakan, tetapi untuk siapa sebenarnya kita berjuang,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button