
ISTAF denda pemain, pegawai Thailand lebih RM610,000 susulan tinggalkan final Piala Dunia Sepaktakraw
KUALA LUMPUR – Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) mengenakan denda berjumlah AS$144,000 (kira-kira RM610,000) terhadap lima pemain dan tiga pegawai pasukan kebangsaan Thailand selepas didapati bersalah berhubung tindakan meninggalkan perlawanan akhir Piala Dunia Sepaktakraw ISTAF Kuala Lumpur 2026 pada Mei lalu.
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, keputusan itu dibuat selepas Panel Pendengaran Tatatertib ISTAF bersidang pada 10 Ogos lalu di Bangkok, Thailand bagi meneliti insiden yang berlaku ketika aksi final kejohanan berkenaan.
Menurutnya, perlawanan akhir itu ditinggalkan oleh pasukan Thailand dan dihentikan kira-kira jam 12.05 tengah malam pada 24 Mei lalu.
“Panel Pendengaran Tatatertib ISTAF telah mendapati kesemua lapan individu yang terlibat bersalah selepas meneliti fakta dan bukti berkaitan kes tersebut.
“Tindakan tatatertib ini diambil selaras dengan peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh ISTAF,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tiga pemain utama Thailand iaitu Phutawan Sopa, Wichan Temkort dan Jakkrit Thinbangbon masing-masing dikenakan denda AS$6,000 (kira-kira RM25,400).
Dua pemain simpanan, Sittipong Khamchan dan Chattuphon Siriart pula didenda AS$5,000 (kira-kira RM21,200) seorang.
Sementara itu, jurulatih kebangsaan Thailand, Narachit Kalachan dan penolong jurulatihnya, Sahachat Sakhoncharoen masing-masing dikenakan denda AS$8,000 (kira-kira RM33,900).
Pengurus pasukan, Auychai Srisuwan menerima hukuman paling berat apabila didenda AS$10,000 (kira-kira RM42,400).
Secara keseluruhan, jumlah denda individu yang dikenakan terhadap lapan mereka adalah AS$54,000 (kira-kira RM229,000).
Abdul Halim berkata, semua individu berkenaan telah selesai menjalani hukuman penggantungan yang dikenakan sebelum ini.
Menurut beliau, mana-mana individu yang gagal menjelaskan denda dalam tempoh 14 hari selepas menerima notis penalti boleh dikenakan penggantungan antara satu hingga dua tahun.
“Keputusan ini telah ditandatangani pada 11 Ogos 2026 oleh anggota Panel Pendengaran Tatatertib ISTAF yang terdiri daripada wakil lima negara.
“Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan notis penalti dengan bayaran fi rayuan sebanyak AS$500 (kira-kira RM2,100),” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








