BERITA SEMASA

Isu parkir akan diatasi, lif flat AC4 Taman Sri Sentosa akan diganti tahun hadapan – Fahmi

KUALA LUMPUR – Masalah kekurangan tempat letak kereta dan kerosakan lif di flat AC4, Taman Sri Sentosa antara isu kemudahan penduduk yang diberi perhatian Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, usaha sedang dilakukan untuk menyediakan parkir terbuka di kawasan bawah rentis Tenaga Nasional Berhad (TNB), selain penggantian lif di empat blok kediaman berkenaan yang dijadualkan bermula awal tahun depan.

“Dulu mereka ada dua lif, sekarang tinggal satu. Daripada satu pun, ia kerap bermasalah,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Serahan Bantuan Deepavali Sentosa, di sini, hari ini.

Menurutnya, permohonan bagi mendapatkan kelulusan menggunakan kawasan di bawah rentis TNB sebagai tempat letak kereta terbuka sedang diusahakan bagi membantu mengatasi kesukaran penduduk mendapatkan parkir.

“Cadangan ini dijangka memberi manfaat kepada penduduk di beberapa blok kediaman sekitar kawasan berkenaan, khususnya mereka yang berdepan masalah kekurangan ruang parkir sehingga terpaksa meletakkan kenderaan di tepi jalan.

“Selain itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan penggantian lif di setiap satu daripada empat blok flat AC4, dengan kerja-kerja dijangka bermula awal tahun depan,” tambahnya,

Beliau berharap pelaksanaan projek itu dapat meningkatkan keselesaan penduduk yang sekian lama berdepan masalah kerosakan lif, walaupun flat berkenaan merupakan perumahan swasta.

Fahmi turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta pihak KPKT atas bantuan dalam menguruskan penggantian lif di flat berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button