Pengendali Telegram beri komitmen jalin kerjasama dengan Malaysia kekang isu keselamatan siber
CYBERJAYA – Pengendali aplikasi Telegram akhirnya akur untuk memberi kerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia dalam mengekang isu keselamatan siber di platform berkenaan.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bertemu dengan wakil pengendali aplikasi berkenaan dalam satu mesyuarat di Ibu Pejabat PDRM di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.
Mesyuarat tersebut turut disertai Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengerusi SKMM, Tan Sri Salim Fateh Din serta pegawai-pegawai tertinggi PDRM.
“Kami juga telah menyampaikan pandangan tegas berhubung peri penting pihak Telegram dan mana-mana aplikasi pemesejan atau media sosial untuk sentiasa akur dan patuh kepada undang-undang Malaysia,” kata Fahmi dalam satu kenyataan hari ini.
Fahmi berkata, sejak Januari 2020 hingga Mei tahun ini, jumlah kerugian yang ditanggung oleh rakyat Malaysia akibat pelbagai aktiviti penipuan menerusi Telegram mencecah RM45 juta.
Sehubungan itu, tegasnya kerajaan tidak akan berdiam diri dan membenarkan penjenayah berselindung di sebalik identiti palsu.
“InsyaAllah, pertemuan hari ini adalah permulaan yang baik dalam kerjasama rentas agensi bagi memastikan Telegram akan lebih selamat untuk digunakan,” tambah beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







