Suspek bunuh polis ketika operasi banteras dadah ditembak mati
NARATHIWAT – Dua lelaki yang dipercayai menembak mati anggota polis ketika operasi membanteras pengedaran dadah di Tak Bai, Narathiwat, Ahad lalu, ditembak mati dalam satu operasi khas awal pagi tadi.
Menurut Komander Polis Wilayah 9, Leftenan Jeneral Piyawat Chalermsri, kedua-dua lelaki berusia 23 dan 30 tahun itu maut dalam operasi di daerah Sukhirin, kira-kira pukul 2 pagi waktu tempatan, lapor BERNAMA.
BACA JUGA:
Dua anggota polis maut ketika operasi banteras dadah di Narathiwat
Beliau berkata, insiden berbalas tembakan berlaku apabila polis mengepung sebuah rumah usang dipercayai tempat persembunyian kedua-dua suspek itu.
Suspek mula melepaskan tembakan ke arah polis dan bagi mempertahankan diri, polis terpaksa membalas tembakan, katanya.
“Pemeriksaan di tempat kejadian turut menemukan semula dua pucuk pistol milik anggota Balai Polis Tak Bai yang maut, Ahad lalu. Kedua-dua pistol itu dipercayai dilarikan suspek,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.
Beliau mengesahkan tiada suspek yang berjaya melarikan diri dalam operasi tersebut.
Laporan media Ahad lalu menyebut, dua anggota polis maut manakala empat lagi cedera dalam kejadian berbalas tembakan dengan seorang lelaki ketika menjalankan operasi membanteras pengedaran dadah di Tak Bai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







