Suspek cederakan polis, bawa mayat wanita dalam kereta dipercayai larikan diri ke luar negara
KUALA LUMPUR – Polis percaya suspek utama kes anggota polis cedera ditembak dan ditikam di Simpang Pulai, Perak, sebelum mayat seorang wanita ditemukan dalam kereta dipandunya, sudah melarikan diri ke luar negara.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, pihaknya sudah memohon bantuan Polis Antarabangsa (INTERPOL) bagi mengesan serta menahan lelaki berkenaan, lapor BH Online.
Noor Hisam turut memberitahu, siasatan mendapati mangsa wanita dan suspek utama mempunyai pertalian persaudaraan.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan wujud pembabitan pihak lain dalam kes berkenaan selain suspek yang kini dalam buruan.
“Siasatan masih sedang dijalankan dan kita tidak menolak kemungkinan adanya pembabitan pihak ketiga dalam kes ini,” katanya lagi.
Dalam kejadian 7 Sept lalu, seorang anggota polis cedera ditembak dan ditikam dalam pergelutan dengan lelaki yang kemudian dikesan membawa mayat wanita dalam kereta dipandunya di Simpang Pulai, Ipoh, Perak.
Dalam kejadian berkenaan, konstabel polis berkenaan cedera ditembak di perut dan ditikam manakala pistol miliknya turut dilarikan suspek.
Susulan kejadian, sembilan individu termasuk seorang wanita ditahan reman bagi membantu siasatan namun kesemua mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






