Guru wanita ditemukan maut dalam tandas guru
KUCHING – Seorang guru wanita ditemukan dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri di lantai tandas guru sebuah sekolah menengah di Bau, hari ini.
Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan pada pukul 9.08 pagi di lokasi kejadian, lapor BH Online.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu selepas dihubungi Pusat Perubatan Kecemasan (MECC) Kuching melalui talian MERS 999 pada pukul 8.53 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Polis Bau, kemudian bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan awal.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang di lantai tandas guru perempuan di sekolah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil temu bual dengan rakan setugas mendapati wanita itu sudah berkhidmat sebagai guru mata pelajaran Sains dan Biologi sejak 25 tahun lalu.
Mohd Haide berkata, menurut rakan mangsa, kali terakhir beliau melihat mangsa adalah sekitar pukul 8.15 pagi di bilik guru sebelum wanita itu memaklumkan ingin ke tandas.
Katanya, kira-kira pukul 8.35 pagi, seorang guru lain memaklumkan bahawa mangsa masih belum hadir ke kelas untuk sesi pengajaran, menyebabkan rakan setugas pergi mencari mangsa di tandas guru perempuan.
“Sebaik pintu tandas dibuka, mangsa didapati berada dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri sebelum talian kecemasan dihubungi bagi mendapatkan bantuan perubatan,” katanya.
Pemeriksaan awal di tempat kejadian tidak menemukan sebarang kecederaan yang mencurigakan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut atau Sudden Death Report (SDR). Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bau untuk bedah siasat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







