JENAYAH & MAHKAMAH

Ejen pelancongan ugut suami isteri di Jepun, direman empat hari

SEPANG – Seorang ejen pelancongan direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan jenayah terhadap sepasang suami isteri ketika berada di Jepun, awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, suspek lelaki berusia 36 tahun itu direman sehingga 19 Julai ini selepas dibawa ke Mahkamah Majistret Sepang pagi tadi.

“Reman diperlukan bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam di sebuah restoran sekitar Sepang, susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa pada 28 Januari sejurus pulang dari Jepun.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek merupakan kenalan mangsa yang juga wakil daripada sebuah agensi pelancongan.

“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap pengurusan perjalanan semasa berada di negara berkenaan,” katanya lagi.

Terdahulu, suspek tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Sepang pada jam 8.15 pagi sebelum dihadapkan di hadapan Majistret, Khairatul Aminah Jailani.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan reman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut terhadap suspek mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, kejadian berlaku pada 24 Januari lalu di sebuah rumah sewa rakan mereka di Jepun.

Mangsa wanita, Noornabilla Azemi, 36, mendakwa dia telah dipukul, kepalanya dihentak ke besi katil dan diugut bunuh oleh suspek.

Manakala suaminya, Mohamad Zhaza Mohamad, 34, turut mendakwa dipukul dan kehilangan wang tunai sebanyak 75,000 yen (anggaran RM2,300), selain diugut supaya meninggalkan negara itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button