Suspek kes tikam, tembak polis masih di luar negara
IPOH – Suspek kes tikam dan tembak seorang anggota polis di Simpang Pulai September lalu masih berada di luar negara.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan Bukit Aman dan beberapa pihak lain bagi mengesan lelaki berkenaan, lapor Kosmo.
“Setakat ini, suspek dipercayai berada di luar negara. Kita masih lagi berusaha mengesan lelaki itu bersama Bukit Aman dan pihak lain,” katanya selepas merasmikan Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya (Op Kerja) Tahun 2025 di Unisem, Simpang Pulai di sini hari ini.
Sementara itu, mengenai anggota polis yang menjadi mangsa kes berkenaan, Noor Hisam berkata anggota berusia 26 tahun itu ditukarkan ke Sarawak atas faktor kebajikan memandangkan dia tidak mempunyai ahli keluarga terdekat di Semenanjung Malaysia.
“Anggota itu mendapatkan rawatan di sana (Sarawak). Dia tiada keluarga di sini (Semenanjung), jadi pertukaran itu bagi memudahkan urusan kebajikannya. Saya meminta jasa baik Bukit Aman (bahagian pertukaran) dan dia bertukar ke kampung halamannya,” katanya lagi.
Dalam kejadian pada pukul 1.15 pagi, 7 September lalu, seorang anggota polis cedera selepas ditikam dan ditembak seorang lelaki ketika melakukan rondaan cegah jenayah di Simpang Pulai.
Suspek kemudian melarikan diri dengan senjata api pasukan.
Pemeriksaan susulan ke atas kenderaan suspek kemudian menemukan jasad seorang wanita di tempat duduk belakang.
Proses bedah siasat ke atas mayat wanita berusia 62 tahun itu mendapati punca kematiannya adalah disebabkan lemas kerana kekurangan oksigen.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






