Ejen insuran disyaki ugut, sebar gambar bogel madu direman dua hari
MELAKA – Seorang wanita yang bekerja sebagai ejen insuran direman dua hari oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas disyaki mengugut dan menyebarkan gambar bogel madunya yang juga seorang guru, Mac lalu.
Perintah reman terhadap suspek berusia 53 tahun itu dikeluarkan Majistret, Nurul Asyikin Rosli selepas permohonan dibuat oleh pegawai penyiasat.
Ia bagi melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 507 dan 509 Kanun Keseksaan.
Laporan SH Online yang memetik sumber berkata, ibu kepada empat anak itu ditahan kira-kira jam 10.15 malam tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) oleh sepasukan polis.
“Wanita itu sebelum ini diklasifikasikan sebagai individu dikehendaki untuk siasatan susulan laporan dibuat madunya yang juga seorang guru berusia 47 tahun.
“Guru terbabit membuat laporan polis terhadap suspek apabila bapanya di Klebang memaklumkan menerima sepucuk surat berserta gambar bogel anak perempuannya itu dan menantunya,” katanya.
Kata sumber, disebabkan bimbang aibnya tersebar selain suspek sering mengganggu keluarganya, pengadu membuat laporan polis pada 27 Mac lalu.
Sementara itu, peguam suspek, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh memberitahu, pihaknya membantah permohonan reman selama empat hari yang dipohon polis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







