BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Kes Pamela : Suami dan beberapa individu jadi suspek kes

KUALA LUMPUR – Suami dan beberapa orang individu disiasat sebagai suspek kes kehilangan seorang wanita bernama Pamela Ling Yueh sejak 9 April lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini, pihak polis telah mengambil keterangan daripada suami Pamela dan juga 15 orang individu.

Bagaimanapun katanya, motif sebenar kehilangan wanita itu masih disiasat dan pihaknya telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah menyiasat insiden sebagai kes culik.

“Buat masa ini, kemungkinan (suami Pamela sebagai suspek) dan mungkin ada orang lain.

“Siasatan masih belum (lengkap) lagi dan kita percaya ada orang lain kita ambil sebagai suspek juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) PDRM 2024 di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Ditanya kemungkinan wanita itu masih berada di negara ini, Razarudin berkata maklumat tersebut tidak dapat didedahkan untuk tidak menganggu siasatan.

“Perkara itu masih dalam siasatan, kita tidak boleh buat kesimpulan,” katanya.

Menurut Razarudin beliau sendiri akan mempengerusikan mesyuarat bersama Jabatan Siasatan Jenayah pada malam ini untuk mengetahui perkembangan terkini kes tersebut.

Beliau berkata, polis juga masih menyiasat dakwaan pemandu e-hailing yang mengatakan Pamela dilarikan oleh individu yang memakai uniform dan vest polis.

Katanya, siasatan masih diteruskan untuk menentukan sekiranya suspek menyamar polis atau sememangnya anggota yang membuat onar.

Sebelum ini media melaporkan Pamela hilang ketika dalam perjalanan untuk hadir ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya sekitar pukul 1.30 petang hingga 2.10 petang untuk memberi keterangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button