JENAYAH & MAHKAMAH

Polis buru lelaki lari daripada tahanan polis

GEORGE TOWN – Polis sedang memburu seorang tahanan reman polis yang dilaporkan melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap, Jumaat lepas.

Menurut Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, suspek melarikan diri sekitar jam 3.45 petang selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang anggota polis yang ditugaskan mengawal suspek.

Ketika melarikan diri, suspek dipercayai masih memakai pakaian hospital berwarna biru dan putih.

“Suspek dikenali sebagai S Clemont, 47 tahun yang ditahan reman berkaitan kes di bawah Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan, melibatkan kes pecah rumah dan mencuri motosikal di kawasan Sungai Bakap.

“Sebelum kejadian, suspek dibawa ke Hospital Sungai Bakap, 22 Januari lalu untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami serangan sawan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan kejadian polis telah melancarkan Op Tutup bagi mengesan dan menangkap semula suspek.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana kecuaian penjawat awam sehingga membolehkan tahanan melarikan diri, serta Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri daripada tahanan yang sah.

Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Cheok Kian Soon di talian 012-619 3878, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di talian 04-585 8222, atau hadir ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button