BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Anggota polis ditikam stabil, suspek disyaki bawa dadah – Ayob Khan

PETALING JAYA – Keadaan anggota polis, Koperal Mohd. Nadzri Sudiman, 35, yang ditikam dalam kejadian di Pasar Pudu, Jalan Yew, Khamis lalu kini dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi Kardiotorasik (CTICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mangsa masih dalam pemantauan rapi doktor namun dijangka pulih dalam tempoh satu hingga dua minggu berdasarkan penilaian awal pakar perubatan.

“Saya sempat melawat mangsa dan beliau masih lemah namun berada dalam keadaan stabil. Insya-Allah, menurut doktor, keadaannya semakin baik,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Mengulas lanjut insiden tersebut, Ayob Khan berkata, siasatan awal mendapati suspek yang menikam mangsa dipercayai membawa dadah ketika ditahan untuk pemeriksaan.

“Suspek bertindak agresif dipercayai bagi mengelak daripada diperiksa kerana dia membawa dadah ketika itu. Suspek juga mempunyai 14 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” jelasnya.

Tambah beliau, kejadian berlaku ketika mangsa menjalankan rondaan jenayah bersama rakan setugas dan menahan suspek untuk pemeriksaan sebelum diserang dengan senjata tajam.

Susulan insiden itu, suspek lelaki berusia 56 tahun itu telah ditahan dan hasil pemeriksaan lanjut menemui dadah jenis heroin dalam simpanannya.

Suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 307 dan 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Ayob Khan memaklumkan, ketika kejadian, anggota polis terbabit tidak memakai kamera badan walaupun sedang menjalankan tugas rondaan.

“Pemakaian kamera badan amat penting ketika penugasan. Kita mahu semua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) dilengkapi peralatan itu,” katanya.

Jelas beliau, setakat ini sebanyak 7,648 unit kamera badan telah diagihkan di seluruh negara bagi fasa pertama, manakala 10,000 unit lagi akan diperoleh dalam fasa kedua kelak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button