Empat bot disyaki bawa dadah dimusnahkan tentera AS di Lautan Pasifik
WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) terus memperhebat operasi ketenteraan di rantau Amerika Latin apabila memusnahkan empat bot penyeludupan dadah di timur Lautan Pasifik, yang mengorbankan 14 individu dan seorang terselamat, hari ini.
Serangan maut itu menjadi sebahagian daripada siri operasi maritim berskala besar yang dilaksanakan oleh tentera AS sejak beberapa bulan lalu, sekali gus mencetuskan kecaman antarabangsa terhadap pendekatan keras Washington dalam menangani kartel dadah.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth berkata, tiga serangan kinetik maut dilancarkan ke atas empat vesel yang dikendalikan oleh organisasi pengganas yang disenaraikan terlibat dalam penyeludupan dadah.
“Jabatan Perang melaksanakan tiga serangan maut ke atas empat vesel yang dikendalikan oleh organisasi pengganas disenaraikan, yang aktif dalam penyeludupan dadah di timur Lautan Pasifik,” katanya dalam kenyataan di X miliknya hari ini.
Hegseth menjelaskan, seorang mangsa yang terselamat berjaya diselamatkan dalam operasi mencari dan menyelamat yang diselaraskan oleh pihak berkuasa Mexico.
Difahamkan, sejak 2 September lalu, tentera AS telah menenggelamkan 14 vesel di Caribbean dan timur Lautan Pasifik, menyebabkan sekurang-kurangnya 57 kematian.
Rumah Putih pada 2 Oktober turut memaklumkan kepada Kongres bahawa AS kini terlibat dalam konflik bersenjata bukan antarabangsa dengan kartel dadah yang disenaraikan sebagai kumpulan pengganas, namun tidak menamakan kumpulan tersebut.
Tindakan agresif Washington itu bagaimanapun mengundang reaksi keras beberapa negara jiran.
Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, menuduh AS berusaha menggulingkan kerajaannya dan memperluas pengaruh ketenteraan di rantau Amerika Latin.
Sementara itu, Presiden Colombia, Gustavo Petro, turut mengecam tindakan AS sebagai pembunuhan, selepas tentera negara itu menembak mati suspek penyeludupan dadah di laut awal bulan ini.
Ketika ini, kehadiran tentera AS di Caribbean berada pada tahap tertinggi dalam tempoh lebih tiga dekad, menggambarkan strategi Washington yang semakin agresif dalam membanteras kartel dadah antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








