‘Hentikan gaya beg kepit, turun padang dekati rakyat’ – Zaliha
MELAKA – Pemimpin dan anggota PKR perlu meninggalkan gaya elitis atau ‘beg kepit’ ketika mendekati rakyat dan memastikan kehadiran mereka dalam masyarakat bukan hanya ketika pilihan raya.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, pemimpin parti perlu turun padang secara konsisten bagi memahami denyut nadi serta masalah sebenar yang dihadapi rakyat.
Menurutnya, pendekatan turun padang tidak seharusnya dilakukan hanya apabila pilihan raya semakin hampir atau selepas bilik gerakan dibuka.
Beliau berkata, keputusan pilihan raya di beberapa kawasan di Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini perlu dijadikan peringatan kepada parti bahawa masih wujud defisit kepercayaan yang perlu dipulihkan.
“Kita perlu melihat keputusan itu sebagai satu indikator amaran. Kita perlu kembali mendekati rakyat dan memahami apa yang mereka rasa,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Zaliha berkata, jentera parti juga perlu lebih inklusif dengan mendekati kumpulan masyarakat yang kurang diberi perhatian termasuk Orang Asli, orang kurang upaya (OKU), peniaga kecil serta golongan muda di kawasan FELDA dan estet.
Menurutnya, usaha mendekati rakyat tidak boleh hanya tertumpu kepada kelompok yang mudah dicapai atau sudah menyokong parti.
Dalam pada itu, beliau mengakui PKR masih mempunyai kelemahan dalam menyampaikan pencapaian kerajaan menggunakan bahasa yang mudah difahami rakyat.
“Jangan anggap apabila kerajaan sudah buat sesuatu yang baik, rakyat dengan sendirinya akan tahu dan faham,” katanya lagi.
Beliau mahu setiap anggota PKR memainkan peranan sebagai ‘Duta Penerangan’ dengan membantu menerangkan dasar dan pencapaian kerajaan kepada masyarakat, termasuk menerusi platform media sosial seperti TikTok, Threads dan Facebook.
“Parti mungkin berjaya mencapai sasaran dari segi angka, namun perkara lebih penting ialah memastikan rakyat benar-benar merasai manfaat dan memahami perubahan yang dibawa kerajaan,” katanya lagi.
Zaliha turut mengingatkan anggota PKR bahawa perjuangan Reformasi yang bermula sejak 27 tahun lalu bukan sekadar untuk mendapatkan kuasa atau menduduki Putrajaya.
“Perjuangan itu perlu diteruskan melalui usaha melakukan pembaikan atau islah serta membanteras rasuah demi memastikan keadilan dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








