Pit stop rider di Segamat siap Oktober – Zaliha Mustafa
SEGAMAT – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa mengumumkan kemudahan ‘pit stop’ khas untuk penghantar makanan di daerah ini dijangka siap sepenuhnya Oktober depan.
Menurut beliau, projek yang menelan belanja RM650,000 itu merupakan janji dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu selepas menerima aduan daripada kira-kira 100 rider FoodPanda dan GrabFood di Parlimen Sekijang mengenai ketiadaan tempat menunggu pesanan.
“Alhamdulillah, satu lagi manifesto ditepati. Semasa kempen PRU dulu, para rider maklumkan kepada saya mereka tiada lokasi sesuai untuk berehat sementara menunggu pesanan.
“Jadi saya berjanji untuk bina satu pit stop ala-ala R&R di kawasan Sungai Kapeh, berhampiran jambatan kedua Segamat,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Zaliha berkata, permohonan itu telah dibawa ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Segamat (MPS) dan diluluskan pada Jun lalu sebelum kerja-kerja pembangunan dimulakan.
“Insya-Allah, bulan depan ia akan siap untuk digunakan. Saya berterima kasih kepada MPS selaku agensi pelaksana kerana menjayakan projek ini,” jelasnya.
Beliau menambah, kemudahan tersebut seiring dengan usaha Kerajaan Madani yang sebelum ini meluluskan Rang Undang-Undang Pekerja Gig di Dewan Rakyat sebagai pengiktirafan kepada sumbangan golongan pekerja penghantaran makanan.
“Di Sekijang, kita juga mahu menghadiahkan sesuatu kepada mereka. Semoga pit stop ini dapat dimanfaatkan sebaiknya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








