DBKL terima 1,009 aduan kenderaan buruk, 992 diselesaikan setakat Mei
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima 1,009 aduan awam berkaitan kenderaan buruk atau terbiar di kawasan Parlimen ibu negara dari Januari hingga Mei lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Zaliha Mustafa berkata, daripada jumlah itu, 992 aduan telah berjaya diselesaikan manakala selebihnya masih dalam siasatan dan tindakan lanjut.
“Aduan itu datang dari kesemua 11 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur, dengan kawasan Segambut merekodkan jumlah tertinggi iaitu 163 aduan, diikuti Seputeh (143) dan Setiawangsa (113),” katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi kawasan Bukit Bintang, sebanyak 81 aduan diterima dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Dr Zaliha berkata, Jabatan Penguatkuasaan DBKL memiliki tiga depoh khas dengan kapasiti keseluruhan sebanyak 3,100 kenderaan.
Setakat ini, 1,945 kenderaan telah ditempatkan di depoh tersebut.
“Daripada jumlah itu, 1,504 kenderaan ditempatkan di Depoh Taman Connaught yang berkapasiti 1,600 kenderaan,” tambah beliau.
Dr Zaliha turut memaklumkan DBKL sedang mengambil langkah penambahbaikan sistematik dengan mempercepatkan proses pelupusan kenderaan tidak dituntut melalui pewartaan.
“Proses pewartaan itu memerlukan masa kerana DBKL perlu memastikan pemilik atau waris benar-benar tidak akan menuntut kembali kenderaan tersebut sebelum ia dilupuskan bagi menjaga kepentingan hak milik,” jelasnya.
Beliau juga mengingatkan penyelesaian sebenar adalah apabila semua pemilik kenderaan buruk atau terbiar memainkan peranan dalam melupuskan kenderaan mereka sendiri.
Dalam perkembangan lain, Dr Zaliha berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memperkenalkan sistem eDereg sebagai kemudahan baharu untuk melupuskan kenderaan yang tidak lagi digunakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








