BERITA SEMASA

Beri signal bukan sekadar patuh undang-undang, tetapi tanda hormat di jalan raya – DBKL

KUALA LUMPUR – Tindakan memberi isyarat atau signal sebelum membelok dan menukar lorong bukan sahaja satu kewajipan di sisi undang-undang, malah mencerminkan sikap hormat serta tanggungjawab terhadap pengguna jalan raya yang lain.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, kegagalan memberi signal walaupun hanya dalam tempoh beberapa saat boleh mengakibatkan situasi berbahaya.

“Ia cukup untuk membuatkan pemandu lain membrek secara mengejut, penunggang motosikal hilang imbangan atau mencetuskan kemalangan yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tegas DBKL hakikatnya, pengguna di jalan raya tidak mengenali antara satu sama lain, namun mereka saling bergantung untuk pulang ke rumah dengan selamat.

“Sebab itulah signal bukan sekadar lampu yang berkelip. Ia ialah tanda hormat dan cara kita memberitahu pengguna jalan raya yang lain kita akan membelok dan menukar lorong,” tegas hantaran itu lagi.

Tambah DBKL, dengan tindakan hanya beberapa saat untuk memberi isyarat, kesannya mampu menyelamatkan nyawa.

“Apabila kita menggunakan signal dengan betul, kita bukan sahaja mematuhi undang-undang, malah menunjukkan sikap bertimbang rasa, menghormati hak pengguna jalan raya yang lain dan membantu mewujudkan perjalanan yang lebih lancar serta selamat untuk semua,” katanya.

Menurutnya lagi, DBKL sentiasa berusaha memastikan jalan raya, lampu isyarat dan kemudahan bandar berada dalam keadaan terbaik demi keselesaan warga kota.

Malah, melalui petugas di Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLCCC), pemantauan trafik dijalankan setiap hari bagi menyelaras tindakan awal apabila berlaku kemalangan, kenderaan rosak atau sebarang insiden di jalan raya.

“Namun sebesar mana pun usaha yang dilaksanakan, keselamatan bandar raya tetap bermula dengan sikap setiap daripada kita.

“Marilah kita sama-sama membudayakan sikap saling menghormati, bertimbang rasa dan sentiasa peka terhadap pengguna jalan raya yang lain.

“Kerana sebuah bandar yang selamat bukan hanya dibina dengan infrastruktur yang baik, tetapi juga dengan nilai kemanusiaan yang kita amalkan setiap hari.

“Beri signal, tunjuk rasa hormat, elak nahas dan selamatkan nyawa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button