Industri lada Malaysia jana RM2.27 bilion, pekebun kecil jadi tunjang
KUALA LUMPUR – Industri lada Malaysia yang banyak bergantung kepada pekebun kecil mampu menyumbang sekitar RM2.27 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025, meskipun keluasan tanaman hanya sekitar 8,200 hektar.
Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia (MPB), Vincent Sawat berkata, kekuatan industri itu terletak pada kesesuaiannya sebagai tanaman ekonomi untuk pekebun kecil, khususnya masyarakat luar bandar dan kawasan pedalaman.
Menurutnya, kira-kira 39,000 pekebun terlibat dalam penanaman lada di seluruh negara, dengan Sarawak kekal sebagai tunjang utama industri berkenaan.
“Lada ini tidak memerlukan kawasan yang besar untuk ditanam. Selepas itu, ia boleh dituai dan disimpan untuk tempoh yang lama.
“Kalau kita bercakap mengenai penduduk luar bandar yang jauh dari pekan, mereka menghadapi masalah logistik. Jadi lada ini satu-satunya komoditi atau tanaman ekonomi yang amat sesuai untuk mereka kerana tidak memerlukan mereka memasarkannya serta-merta,” katanya menerusi podcast bersama Suara TV.
Vincent berkata, kelebihan itu menjadikan lada antara tanaman yang sesuai untuk membantu menjana pendapatan penduduk di kawasan pedalaman, terutama di Sarawak yang industri ladanya masih didominasi pekebun kecil.

Bagaimanapun, katanya, corak penanaman lada kini mula berubah apabila semakin banyak syarikat meneroka penanaman secara komersial, khususnya di Johor.
Di Sarawak pula, terdapat syarikat besar yang mula mengambil langkah untuk mengusahakan penanaman lada dalam skala tertentu.
Mengulas kedudukan Malaysia berbanding negara pengeluar lada utama seperti Vietnam, India dan Indonesia, Vincent berkata, struktur industri yang berbeza menyebabkan Malaysia perlu menggunakan pendekatan tersendiri.
Katanya, industri lada Vietnam misalnya banyak didominasi syarikat besar yang mempunyai pengalaman dalam industri rempah serta mengusahakan penanaman lada secara komersial.
“Untuk Malaysia, kita sekarang ini masih bergantung kepada pekebun kecil sebab ini satu-satunya komoditi yang sesuai untuk mereka yang jauh di pedalaman,” katanya.
Menurutnya, kebergantungan kepada pekebun kecil menyebabkan kos pengeluaran lada Malaysia lebih tinggi berbanding Vietnam dan Indonesia yang mampu menghasilkan lada secara besar-besaran.
“Kita harus melangkah satu strategi yang berbeza. Mereka boleh mengeluarkan pengeluaran secara besar-besaran, dalam kuantiti yang banyak dan kos yang lebih rendah berbanding kita,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Malaysia tidak boleh bersaing semata-mata dari segi jumlah pengeluaran dan harga, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada aspek kualiti serta nilai tambah.
Katanya, strategi pemasaran negara lebih tertumpu kepada penghasilan produk berkualiti tinggi, kepelbagaian produk hiliran serta penerokaan pasaran khusus atau niche market.
“Contohnya Jepun dan Korea yang mementingkan kualiti dan sanggup menawarkan harga berpatutan berbanding negara-negara lain.
“Itu perbezaan industri negara kita dengan negara luar,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


