BERITA SEMASA

98 peratus tanaman lada negara tertumpu di Sarawak

KUALA LUMPUR – Sarawak menjadi nadi utama industri lada negara apabila kira-kira 98 peratus tanaman komoditi itu tertumpu di negeri berkenaan.

Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia (MPB), Vincent Sawat berkata, baki dua peratus tanaman lada pula terdapat di Johor, Sabah dan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Katanya, faktor itu menjadi antara sebab ibu pejabat MPB ditempatkan di Sarawak sejak penubuhan agensi berkenaan pada 1 Januari 2007.

lembaga lada
Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia (MPB), Vincent Sawat.

“Kalau kita melihat dari sudut sejarah, lada berasal dari India dan mula dibawa masuk ke Malaysia oleh pedagang rempah.

“Lada pada mulanya ditanam di Pulau Langkawi, Kedah sebelum berkembang ke Johor dan seterusnya industri itu berkembang pesat di Sarawak sehingga sekarang,” katanya dalam temubual podcast Suara TV.

Menurutnya, MPB berperanan membangunkan industri lada negara secara menyeluruh merangkumi aspek huluan, penyelidikan dan pembangunan sehingga pemasaran.

Vincent berkata, MPB merupakan badan berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan lada yang dimaksudkan dalam konteks industri komoditi bukanlah cili seperti yang sering difahami sesetengah masyarakat.

Sebaliknya, katanya, lada merujuk kepada spesies Piper nigrum yang menghasilkan lada hitam dan lada putih.

“Bila kita bercakap tentang lada, ia merujuk kepada Piper nigrum yang menghasilkan lada hitam dan lada putih, bukannya cili.

“Kebanyakan orang menganggap lada itu cili, tetapi dalam konteks ini ialah lada hitam dan lada putih,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan Sarawak sebagai pengeluar utama lada turut memperkukuh peranan negeri itu dalam pembangunan industri komoditi berkenaan di Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button