Fahmi santuni jurufoto Borneo Post terjejas akibat ribut
KUCHING – Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil hari ini menyantuni jurufotografi The Borneo Post, Chimon Anak Upan yang terkesan akibat kejadian ribut pada 25 Ogos lalu.
Chimon, 59, yang telah berkhidmat dengan The Borneo Post selama 17 tahun, menerima sumbangan menerusi Tabung Kasih@HAWANA X TM yang disampaikan Fahmi dalam kunjungannya di Sarawak, hari ini.
“Dalam rangka tugasan di Kuching hari ini, saya turut singgah ke kediaman saudara Chimon Anak Upan, jurufoto The Borneo Post yang terkesan akibat ribut pada 25 Ogos lalu.
“Sebahagian bumbung rumahnya rosak dan bekalan elektrik turut terputus.
Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA X TM yang disampaikan hari ini diharap dapat memberi sedikit kelegaan buat beliau dan keluarga.
“Kita menghargai setiap insan yang selama ini merakam dan menyampaikan cerita kepada rakyat. Saat mereka pula diuji, kita hadir untuk bersama-sama meringankan beban,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tabung Kasih@HAWANA X TM merupakan inisiatif di bawah Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan menerusi dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) Telekom Malaysia (TM) bagi memperluas bantuan kepada pengamal media yang memerlukan.
Sejak mula disalurkan pada Jun 2026, seramai 75 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan.
Sementara itu, sejak Tabung Kasih@HAWANA diperkenalkan pada April 2023, seramai 845 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat menerusi inisiatif yang diterajui Kementerian Komunikasi dan dilaksanakan menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil; Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta Ketua Pengarang BERNAMA, Arul Rajoo Durar Raj.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














