Zahid perlu bertanggungjawab, jangan serang PM berhubung kuota BUDI95 – pemimpin DAP
IPOH – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu lebih bertanggungjawab dalam mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya berhubung keputusan pemulihan kuota bulanan BUDI95 kepada 300 liter.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, Thulsi Manogaran berkata, Zahid sendiri merupakan anggota Kabinet ketika kuota BUDI95 dikurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter mulai 1 April 2026.
Menurutnya, pengurangan itu dibuat susulan peningkatan konflik di Selat Hormuz ketika keadaan bekalan minyak global dan keselamatan tenaga berdepan ketidaktentuan.
“Kerajaan yang bertanggungjawab tidak akan berdiam diri dan mempertaruhkan keselamatan tenaga negara dalam keadaan sedemikian.
“Langkah sementara mengurus permintaan yang dibuat ketika berlaku kejutan luaran luar biasa bukan bukti kerajaan tidak membuat keputusan, sebaliknya menunjukkan kerajaan bersedia mengambil langkah awal sebelum masalah bekalan berpotensi menjadi krisis nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Thulsi yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP berkata, kerajaan kemudiannya memulihkan semula kelayakan BUDI95 kepada 300 liter sebulan berkuat kuasa 1 September lalu, dengan mengambil kira tekanan kos sara hidup semasa.
Katanya, keputusan itu turut memberi manfaat kepada lebih 16 juta pengguna yang layak.
Beliau berkata, adalah tidak wajar untuk Zahid menggambarkan keputusan mengembalikan kuota berkenaan sebagai tindakan berpunca daripada “ketakutan terhadap pilihan raya”.
“Jika beliau berpendapat langkah berjaga-jaga itu tidak diperlukan, beliau sepatutnya mengemukakan penilaian bekalan, unjuran harga dan data fiskal yang menyokong pandangannya kerana sebagai anggota Kabinet, beliau mempunyai akses penuh kepada maklumat berkenaan.
“Jika beliau berpendapat pengurangan kuota daripada 300 kepada 200 liter adalah satu kesilapan, beliau sepatutnya menyuarakan bantahan secara terbuka dan menyatakan pendirian itu dalam Kabinet.
“Namun, pada April lalu beliau tidak berbuat demikian. Hari ini beliau bercakap seolah-olah keputusan itu bukan sesuatu yang beliau turut terlibat,” katanya.
Thulsi turut mempersoalkan sama ada Zahid membantah keputusan pengurangan kuota ketika ia dibincangkan atau hanya mengkritiknya selepas kuota berkenaan dipulihkan.
“Jika yang berlaku adalah perkara kedua, itu bukan kritikan berprinsip tetapi oportunisme politik,” katanya.
Beliau berkata, Zahid bukan sekadar ahli politik pembangkang yang memberikan komen dari luar kerajaan, sebaliknya merupakan Timbalan Perdana Menteri dan anggota kanan pentadbiran.
Menurutnya, kedudukan sebagai anggota Kabinet menuntut tanggungjawab bersama, disiplin dalam membuat dasar serta rundingan dalaman yang jujur.
“Jika beliau tidak bersetuju dengan strategi keselamatan bahan api kerajaan, tempat yang sewajarnya untuk membangkitkan perkara itu ialah dalam Kabinet, disokong dengan bukti dan bukan melalui sindiran yang bertujuan memalukan Perdana Menteri secara terbuka.
“Zahid sepatutnya menjelaskan apakah dasar alternatif yang beliau cadangkan, bila ia dicadangkan dan apakah bukti yang menyokongnya,” katanya.
Thulsi berkata, rakyat Malaysia berhak mendapat kepimpinan serius daripada seorang Timbalan Perdana Menteri dan bukannya kenyataan sinis terhadap Perdana Menteri dalam kerajaan yang sama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








