DAP bidas Zahid Hamidi, tegaskan warna parti bukan penentu kemajuan Negeri Sembilan
SEREMBAN – Kemajuan Negeri Sembilan tidak ditentukan oleh warna parti yang memerintah sebaliknya bergantung kepada dasar yang tepat, kepimpinan berwibawa dan keupayaan melaksanakan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Pengarah Polisi DAP Kebangsaan merangkap Ahli Jawatankuasa Manifesto Pakatan Harapan (PH), Datuk Chan Foong Hin berkata, kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengaitkan pembangunan negeri dengan sokongan kepada “baju biru” tidak mencerminkan realiti pentadbiran negara.
Menurut beliau, pembangunan sesebuah negeri berlaku hasil kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri disokong perancangan yang tersusun, dasar yang konsisten serta komitmen politik untuk merealisasikan projek yang dirancang.
“Negeri Sembilan mempunyai kelebihan strategik kerana lokasinya yang berhampiran Kuala Lumpur, sekali gus berpotensi menjadi pintu masuk utama ke Lembah Klang dan hab logistik negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, manifesto PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini menggariskan 10 komitmen utama serta lima projek berimpak tinggi yang akan dilaksanakan bersama Kerajaan Persekutuan sekiranya gabungan itu terus diberi mandat mentadbir negeri.
“Lima projek berkenaan ialah pembangunan Seremban Sentral termasuk meningkatkan kekerapan perkhidmatan Komuter Seremban-Kuala Lumpur, pembinaan hospital baharu di Bandar Enstek, pembangunan Pelabuhan Antarabangsa Port Dickson, pembinaan rumah kedua di lot kediaman FELDA serta pembinaan landasan pintasan Senawang-Port Klang,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, tiga daripada lima projek tersebut memberi tumpuan kepada sektor pengangkutan dan logistik kerana aspek itu menjadi faktor penting dalam menarik pelaburan serta mewujudkan peluang pekerjaan.
Beliau turut menegaskan PH memilih untuk menawarkan penyelesaian melalui projek pembangunan dan pelaburan berbanding memainkan persepsi politik.
Menurutnya lagi, pelbagai projek pengangkutan yang sekian lama tertangguh mula digerakkan selepas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, diberi kepercayaan menerajui kementerian itu, sekali gus memperkukuh jaringan rel, jalan raya dan pengangkutan awam yang mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan.
Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat perlu membuat pilihan berdasarkan rekod pencapaian serta pelan pembangunan yang boleh dilaksanakan, bukannya retorik politik yang tidak membawa nilai kepada kemajuan negeri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















