PAS ingatkan Muhyiddin fokus PRN Negeri Sembilan, bukan ungkit PRU15
SEREMBAN – PAS mengingatkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhenti mengungkit ‘kisah lama’ kejayaan Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 dan memberi perhatian penuh kepada usaha memperkukuh partinya dan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Bendahari PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad menyatakan kehairanan beliau dengan tindakan Muhyiddin yang masih bernostalgia mengenai kerjasama politik lampau antara PAS dan BERSATU, lapor portal FMT.
“Kita sedang berhadapan dengan PRN, jadi fokus sekarang ialah untuk memenangi PRN. Saya hairan mengapa Muhyiddin seolah-olah tidak memberi tumpuan kepada PRN, sebaliknya sibuk bernostalgia.
“Cukuplah mengungkit kisah-kisah lama. Buktikan kemampuan dalam PRN Negeri Sembilan ini. Walau berbakul-bakul kisah lama diungkit sekalipun, ia tidak relevan dengan PRN kali ini,” katanya dalam laporan tersebut.
Iskandar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin dalam satu ceramah di Seremban bahawa kejayaan PAS mencatat kemenangan terbesar dalam sejarah dengan memenangi 43 kerusi Parlimen pada PRU15 adalah hasil kerjasama politik antara PAS dan BERSATU dalam PN.
Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Mohd Sanusi Nor pula mengingatkan Muhyiddin bahawa kemenangan BERSATU pada PRU15 turut disumbangkan oleh kekuatan jentera, akar umbi dan pengaruh PAS.
Katanya, dengan kerja keras jentera, pimpinan dan ahli PAS, BERSATU sebagai satu parti yang baharu bertapak mampu memenangi 30 kerusi Parlimen dan beberapa kerusi DUN hingga diterima menyertai kerajaan di beberapa negeri.
“Selepas menang 30 kerusi hasil bantuan dan kerja keras jentera serta penyokong PAS, mereka (BERSATU) pula pecat Ahli Parlimen dan ADUN yang menang atas usaha orang PAS.
“Patutkah begitu? Pergaduhan apa sampai perlu pecat orang? Orang yang berhati tisu sahaja buat kerja macam itu,” katanya.
Sanusi berkata Muhyiddin juga sepatutnya menghalakan serangan politik kepada Pakatan Harapan (PH) dan bukannya terus membangkitkan kisah lama ketika bersama PAS dalam PN.
“Muhyiddin nak lawan PH atau dah jadi proksi PH untuk lawan pembangkang? Cakap terus terang supaya orang faham hala tuju beliau.
“Mana ada pembangkang lawan sesama pembangkang? Apa yang hendak dicapai?” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















