Politik perkauman bukan yang rakyat mahukan – Fahmi
ROMPIN – Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menyentuh isu kaum sebagai cerminan sikap politik yang tidak membantu usaha perpaduan negara.
Menurutnya, politik seharusnya berperanan menyatukan rakyat dan meraikan kepelbagaian masyarakat, bukannya menimbulkan perpecahan atau memisahkan rakyat berdasarkan kaum.
“Saya rasa kenyataan beliau itu mencerminkan satu sikap yang agak meluas dalam Pas. Bukan hanya daripada beliau, tetapi kita juga melihat kenyataan mengenai pendatang daripada Presiden Pas.
“Ini bukan politik yang baik. Politik sepatutnya menggalakkan perpaduan, memahami perbezaan dan berusaha menyatupadukan rakyat, bukannya memecah-belahkan atau memisah-misahkan rakyat,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Program Wayang Pacak di Rompin hari ini.
Fahmi berkata, kenyataan berbaur perkauman itu turut menerima kritikan daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, rakyat Malaysia yang telah lama hidup dalam masyarakat majmuk perlu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perpaduan, khususnya sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
“Kita dah lama merdeka dan telah melancarkan Bulan Kebangsaan. Sepatutnya pada ketika ini kita bercakap tentang usaha menyatupadukan rakyat, bukan membeza-bezakan atau memecah-belahkan mereka,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, Fahmi turut menggesa Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memohon maaf kepada rakyat Negeri Sembilan susulan kenyataannya yang mengaitkan kemungkinan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjadi Menteri Besar sekiranya Pakatan Harapan kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau berkata, kenyataan itu jelas bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan yang menetapkan jawatan Menteri Besar hanya boleh disandang oleh seorang Melayu.
“Saya harap beliau memohon maaf kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan atas kekhilafan yang telah beliau lakukan.
“Menteri Besar di Negeri Sembilan berdasarkan Undang-Undang Tubuh hanya boleh dipilih daripada kalangan orang Melayu dan perkara itu telah termaktub sejak undang-undang tersebut digubal,” katanya lagi.
Mengulas dakwaan Khairy Jamaluddin bahawa sebahagian calon Pakatan Harapan di Johor gagal memperoleh sokongan pengundi Melayu, Fahmi berkata situasi di Negeri Sembilan berbeza kerana rakyat negeri itu menilai rekod pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau berkata, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mempunyai rekod perkhidmatan yang baik dan diterima pelbagai lapisan masyarakat.
“Saya percaya rakyat Negeri Sembilan bijak dan memahami kejayaan serta keupayaan pentadbiran Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Beliau telah berkhidmat dengan cukup cemerlang menjaga orang Melayu, Cina, India, Orang Asli dan seluruh rakyat Negeri Sembilan dengan sangat baik,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















