BERITA SEMASA

Nallini dilantik Pengerusi Majlis Media Malaysia

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan tahniah di atas pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan sebagai Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMM).

“Semoga MMM terus perjuangkan kebebasan media secara bertanggungjawab, memperkukuh etika kewartawanan serta memainkan peranan penting dalam mengangkat suara industri media agar terus mampan lagi dipercayai.

“Tahniah Tan Sri. Selamat berkhidmat,” kongsi Fahmi di platform Threads.

Terdahulu, pelantikan Nallini dipersetujui sebulat suara oleh Ahli Lembaga MMM dalam mesyuarat yang diadakan pada 26 Mei lalu.

MMM dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh peranan badan kawal selia kendiri berkenaan sebagai institusi bebas, berwibawa dan berteraskan kepentingan awam.

Nallini bersara daripada Mahkamah Persekutuan pada Februari lalu selepas berkhidmat selama 18 tahun dalam badan kehakiman.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah berkhidmat di ketiga-tiga peringkat mahkamah atasan serta menghasilkan kira-kira 325 penghakiman yang dilaporkan, termasuk kes berkaitan undang-undang perlembagaan dan komersial.

Beliau juga mencipta sejarah sebagai wanita pertama berketurunan Asia Selatan dilantik ke badan kehakiman atasan Malaysia.

Kini, beliau berkhidmat sebagai penimbang tara dan pengantara, selain memegang beberapa jawatan penting di peringkat antarabangsa termasuk Naib Pengerusi Forum Hakim-Hakim Persatuan Peguam Antarabangsa (IBA).

Menurut kenyataan itu, pengalaman luas serta komitmen beliau terhadap kebebasan badan kehakiman, kedaulatan undang-undang dan akses kepada keadilan menjadikan beliau calon paling sesuai untuk menerajui MMM.

MMM ditubuhkan menerusi Akta Majlis Media Malaysia 2025 sebagai badan kawal selia kendiri industri media bagi memperkukuh standard kewartawanan, mengendalikan aduan awam serta mempromosikan amalan media yang beretika.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button