NADI Inanam Sentral lengkapkan rangkaian 1,099 NADI seluruh negara
KOTA KINABALU – Perasmian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Inanam Sentral melengkapkan rangkaian 1,099 NADI di seluruh negara, sekali gus memperkukuh usaha memperkasa bakat digital dan peluang ekonomi rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, NADI Inanam Sentral melengkapkan keseluruhan 132 NADI di Sabah termasuk 14 NADI baharu yang diwujudkan bagi memperluaskan akses komuniti kepada pembelajaran, pembangunan kemahiran, pekerjaan dan ekonomi digital.
Menurut beliau, antara inisiatif utama yang sedang diperkasakan menerusi NADI ialah program 1 NADI 1 Prompt Engineer yang telah menarik penyertaan 1,247 peserta di seluruh negara, termasuk 509 peserta di Sabah.
“Program ini memberi peluang kepada komuniti untuk memahami dan menggunakan kecerdasan buatan (AI) secara praktikal, di samping membangunkan kemahiran yang semakin diperlukan dalam pasaran pekerjaan masa kini.
“Kejayaan ini turut mencerminkan evolusi NADI daripada pusat akses digital kepada hab pembangunan bakat dan kemahiran masa hadapan,” katanya ketika merasmikan NADI Inanam Sentral di sini hari ini.
Fahmi berkata, pendedahan kepada kemahiran digital dan AI membuka laluan kepada pensijilan profesional, pekerjaan bernilai tinggi serta peluang bekerja secara jarak jauh, khususnya kepada masyarakat luar bandar.
Menurutnya, usaha tersebut berpotensi melahirkan lebih ramai pekerja berpengetahuan yang mampu membina kerjaya tanpa perlu berhijrah ke bandar, selain menjana pendapatan dan menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat.
Beliau berkata, pendekatan yang dilaksanakan menerusi NADI selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa tiada rakyat harus tercicir dalam era digital.
“Keberkesanan pendekatan ini turut mendapat pengiktirafan antarabangsa menerusi World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes, termasuk kejayaan inisiatif keterangkuman digital di Pulau Banggi, Sabah,” katanya lagi.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud serta wakil agensi kerajaan dan komuniti setempat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








