Akmal persoal laporan SPRM isu RM2.1 bilion projek jalan luar bandar
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh mempertahankan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhubung dakwaan perbezaan antara peruntukan dan perbelanjaan projek jalan luar bandar bernilai RM2.1 bilion yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau berkata, RM2.1 bilion yang menjadi pertikaian itu merupakan peruntukan tambahan yang telah diselaraskan dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan kepada KKDW, manakala kementerian berkenaan hanya bertindak sebagai penyelaras pelaksanaan projek.
Menurutnya, persoalan sebenar yang perlu dijawab adalah mengapa peruntukan yang telah diluluskan dan Surat Setuju Terima (SST) telah dikeluarkan tidak disalurkan kepada KKDW bagi membolehkan bayaran dibuat kepada kontraktor.
“Dalam tatacara kewangan kerajaan, sesebuah kementerian tidak boleh sewenang-wenangnya membuat perbelanjaan tanpa peruntukan dan kelulusan sewajarnya daripada pihak berkuasa kewangan.
“Jika benar terdapat isu atau salah laku, siasatan perlu dibuat dan fakta perlu didedahkan. Namun, perlu juga difahami siapa yang meluluskan peruntukan, siapa yang mengeluarkan SST, siapa yang bertanggungjawab menyalurkan wang dan di peringkat mana proses itu terhenti,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Akmal berkata, KKDW tidak sepatutnya dipersoalkan berhubung wang yang telah diluluskan tetapi tidak pernah disalurkan kepada kementerian tersebut untuk tujuan pembayaran.
Beliau turut mempersoalkan tindakan seorang bekas Menteri Kewangan yang membuat laporan kepada SPRM berhubung isu berkenaan.
“Kalau mantan Menteri Kewangan sendiri tidak memahami tatacara kewangan yang berlaku ketika di bawah pentadbirannya, maka tidak hairanlah rakyat tertanya-tanya bagaimana pengurusan kewangan negara ketika itu boleh menjadi begitu bercelaru,” katanya lagi.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin dilaporkan membuat laporan kepada SPRM supaya menyiasat peranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung perbezaan antara peruntukan dan perbelanjaan projek jalan luar bandar di bawah KKDW yang didakwa mencecah RM2.1 bilion.
Beliau dilaporkan meminta siasatan dijalankan bagi menentukan sama ada wujud unsur salah guna kuasa atau penyelewengan dalam pengurusan dana berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








