BERITA SEMASA

KPM teliti kesiapsiagaan pelaksanaan TVET di sekolah rendah

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti keberkesanan serta kesiapsiagaan pelaksanaan elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di sekolah rendah menerusi Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027).

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, elemen TVET akan diintegrasikan secara tidak langsung dalam kurikulum bermula dari peringkat prasekolah hingga sekolah menengah selaras dengan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 dan Dasar Pendidikan Digital.

Menurutnya, pendekatan itu bukan bertujuan melatih murid memasuki alam pekerjaan pada usia yang terlalu awal, sebaliknya membina asas pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan untuk masa depan.

“Kandungan berkenaan membina asas pengetahuan, kemahiran dan nilai melalui aktiviti teknologi, reka bentuk, penghasilan produk, penyelesaian masalah, kreativiti, pemikiran komputasional serta amalan kerja yang selamat.

“Pendekatan pembelajaran berasaskan projek dan pengalaman sebenar membolehkan murid meneroka masalah mudah, menjana idea, mereka bentuk, menghasilkan, menguji dan menambah baik hasil kerja,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen semalam.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor mengenai kajian keberkesanan dan kesediaan pelaksanaan elemen TVET di sekolah rendah bermula sesi persekolahan 2027, termasuk aspek kurikulum, kompetensi guru, kemudahan serta impaknya terhadap perkembangan murid.

Fadhlina berkata, pendekatan tersebut turut menyokong pembentukan kompetensi murid dalam KP2027 yang merangkumi perkembangan diri, komunikasi, tanggungjawab, kefasihan digital, pelbagai literasi, kemahiran berfikir dan pembelajaran sepanjang hayat.

Bagi memastikan kesiapsiagaan guru, katanya, KPM menyediakan dokumen kurikulum, bahan sokongan pengajaran dan pembelajaran (PdP), modul bimbingan serta program penataran secara bersemuka dan e-pembelajaran.

“Sokongan ini memfokuskan kefahaman kandungan, pelaksanaan pembelajaran berasaskan projek, pengurusan aktiviti secara selamat, penggunaan peralatan asas, pentaksiran pembelajaran murid dan pengintegrasian elemen TVET dalam PdP.

“Pendekatan ini juga membolehkan guru mendapat pendedahan, bimbingan dan akses berterusan kepada sumber rujukan bagi melaksanakan kurikulum dengan yakin dan berkesan,” katanya lagi.

Beliau berkata, KPM turut mengenal pasti keperluan ruang, peralatan, bahan dan peranti yang bersesuaian berdasarkan kandungan kurikulum serta aktiviti pembelajaran yang akan dilaksanakan di sekolah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button