KPM seru lapor segera kandungan lucah libatkan murid – Fadhlina
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan semua pihak perlu segera melaporkan kewujudan kandungan lucah dan tidak bermoral di media sosial bagi melindungi murid daripada menjadi mangsa jenayah siber.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM memandang serius laporan media berhubung kewujudan laman pedofilia dalam talian yang didakwa memaparkan gambar murid sekolah.
“Kewujudan halaman media sosial yang memaparkan kandungan lucah dan tidak bermoral perlu dibendung. Ia mesti segera dilaporkan dan diambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kementerian telah memperkenalkan modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) sebagai usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan murid, guru dan ibu bapa terhadap isu berkaitan kesihatan reproduktif dan perlindungan diri.
“Tempoh masa pengajaran modul PEERS akan ditambah dalam pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 bagi memperkukuh kesedaran dan pendidikan berkaitan,” jelasnya.
Fadhlina turut menegaskan bahawa semua institusi pendidikan di bawah KPM perlu mematuhi garis panduan sedia ada dalam menangani isu gangguan seksual.
“Khidmat sokongan psikososial juga perlu terus diperkukuh bagi memberi bantuan kepada murid yang terkesan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyeru ibu bapa agar memainkan peranan proaktif dengan mendidik dan melindungi anak-anak daripada ancaman seksual di alam maya.
“Mereka bertanggungjawab memastikan keselamatan dan maruah anak-anak sentiasa terpelihara,” ujarnya.
Terdahulu, tular sebuah kumpulan awam di Facebook dikenali sebagai ‘Grup Budak-budak Sekolah Rendah’ yang mencetuskan kemarahan orang ramai selepas didakwa menyebarkan gambar remaja perempuan untuk tujuan tidak senonoh.
Bagaimanapun, kumpulan tersebut dilaporkan tidak lagi boleh diakses sejak Rabu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








