Tiada kompromi terhadap pelajar terbabit kes buli di MCKK – KPM
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan tiada kompromi terhadap pelajar yang terlibat dalam kes buli di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di Perak yang tular baru-baru ini.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, beliau meminta agar keluarga mangsa buli tersebut bersabar kerana siasatan bagi kes tersebut masih berjalan.
“Kita faham perasaan ibu bapa mangsa dan berharap mereka dapat bersabar sementara siasatan dijalankan. Kita juga bersikap terbuka jika keluarga mangsa mahu berjumpa dengan KPM bagi berbincang.
“KPM tidak akan berkompromi dengan dengan kes ini dan semua murid adalah sama, tanpa mengira latar belakang,” katanya selepas Majlis Perasmian Anjung Ketipang Payung di Sekolah Kebangsaan (SK) Tan Sri P Ramlee, Jalan Timah, hari ini.
Mengulas lanjut Hui Ying berkata, KPM sudah mengambil tindakan sewajarnya beradasarkan surat pekeliling baharu bagi garis panduan dalam mengatasi kes buli di sekolah.
“Seperti saranan Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) tiga isu iaitu buli, gangguan seksual serta perkauman akan dihapuskan dari sekolah,” katanya lagi.
Terdahulu, Malaysia Tribune melaporkan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK, menzahirkan rasa kesal terhadap penularan kes buli membabitkan pelajar sekolah itu di media sosial.
Selain itu, polis juga sedang menyiasat kejadian buli membabitkan pelajar Tingkatan Empat dan Lima sebuah sekolah tersebut.
Kes buli itu difahamkan membabitkan tiga mangsa pelajar tingkatan empat dan empat pelajar tingkatan lima sekolah berkenaan, dengan ada di antara mangsa buli terbabit terpaksa dirujuk ke Hospital Kuala Kangsar untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan.
Turut tular ialah sepucuk surat rayuan terhadap keputusan hukuman disiplin terhadap pembuli terbabit, yang dikatakan hanya diminta berkelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah berbanding tindakan tegas seperti buang sekolah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













