MRSM sukar lakukan penilaian tanpa UPSR – Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR – Pemansuhan sistem penilaian berpusat seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menyebabkan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sukar untuk menjalankan penilaian terhadap keupayaan dan potensi sebenar pelajar.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Menurut Dr Asyraf Wajdi, ketiadaan UPSR juga merupakan antara faktor kepada pencapaian ujian kemasukan ke MRSM rendah.
“Tanpa sistem penilaian berpusat seperti UPSR, sukar untuk menilai keupayaan dan potensi sebenar pelajar.
“Salah satu faktor pencapaian ujian kemasukan ke MRSM rendah juga disebabkan tiadanya UPSR,” katanya.
Dalam pada itu, perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi di media sosial, dengan ada dalam kalangan netizen yang bersetuju agar UPSR dikembalikan dan ada yang tidak bersetuju atas sebab ia hanya memberi tekanan kepada pelajar sekolah rendah khususnya.
Pengguna Facebook, Azalina Mohd Yunos, berpendapat adalah wajar untuk UPSR dikembalikan bagi membolehkan pelajar mempunyai asas yang kuat setelah melangkah masuk ke alam sekolah menengah.
“Kesannya semakin ketara. Tambahan pula sekarang di sekolah tiada Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3). Pelajar akan terus menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai peperiksaan yang besar.
“Ramai (pelajar) akan ketinggalan kerana sukar untuk menguasai semua (mata pelajaran) berbanding ketika ada UPSR & PT3. Peperiksaan besar membuatkan murid belajar bersungguh-sungguh,” katanya.
Walaubagaimanapun, pengguna Facebook, Nur Aimi pula tidak bersetuju untuk mengembalikan UPSR kerana pelajar yang berusia 12 tahun ke bawah tidak sepatutnya diberikan tekanan.
Jelasnya, pelajar perlu mempelajari ilmu kendiri, sahsiah diri, adab, akhlak dan menguasai kemahiran di sekolah rendah.
“Sekiranya tidak, guru akan tertekan untuk mengasingkan pelajaran mengikut kemampuan kerana ingin mengejar petunjuk prestasi utama (KPI),” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








