KPM perkasa langkah keselamatan, tiada kompromi isu buli
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan beberapa langkah penting bagi memperkukuh keselamatan semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya termasuk menangani isu disiplin dan salah laku buli.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, antara langkah tersebut adalah penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan sekolah dan kajian semula garis panduan sedia ada supaya kekal relevan dengan keperluan semasa dan masa depan.
Menurutnya, audit keselamatan akan dilaksanakan segera di semua institusi pendidikan termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan asrama harian bagi menilai tahap pematuhan SOP.
“Hasil laporan audit itu akan dibentangkan kepada Pengurusan Tertinggi KPM dalam tempoh tiga bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KPM juga akan mereformasikan sistem aduan sedia ada termasuk portal Aduan Buli dengan memudahkan proses laporan serta menyediakan pilihan anonim bagi melindungi identiti pengadu dan saksi.
Sebuah Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan akan ditubuhkan melibatkan ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar pelbagai bidang, pihak polis dan Pelibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS) bagi memastikan aspek keselamatan diperkasakan.
Dr Mohd Azam menegaskan, tiada kompromi terhadap salah laku buli malah tindakan tegas termasuk gantung atau buang sekolah akan dikenakan.
Bagi murid yang digantung sekolah, KPM akan memperkenalkan program intervensi Bangkit Bermaruah yang memberi tumpuan kepada khidmat komuniti dan pembangunan sahsiah.
Pentadbir, guru serta pegawai di pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri yang gagal menguruskan aduan buli mengikut garis panduan sedia ada juga akan dikenakan tindakan.
“Aspek sokongan psikososial akan terus diperkukuh di setiap peringkat demi memastikan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah.
“Guru Bimbingan dan Kaunseling berperanan penting dalam usaha pencegahan dan intervensi menangani salah laku buli,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak bekerjasama secara menyeluruh dan bersepadu bagi mewujudkan ekosistem sekolah yang selamat sebagai tanggungjawab bersama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








